IPOH: DAP meminta kerajaan melantik semula Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat menggantikan Datuk Seri Azalina Othman Said.
Setiausaha DAP Perak, Wong Kah Woh berkata, jawatan itu wajar diberikan kepada pembangkang bagi membuktikan kerajaan benar-benar mahu memastikan institusi Parlimen mempunyai satu pembaharuan.
Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sepatutnya mengambil peluang tawaran gencatan politik dengan pembangkang ketika ini dengan memilih ahli Parlimen pembangkang untuk jawatan tersebut.
“Pakatan Harapan (PH) juga seperti diumumkan sebelum ini telah mencalonkan Nga Kor Ming iaitu bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat selama 25 bulan semasa kerajaan PH untuk kembali menjawat jawatan berkenaan.
“Maka, inilah masanya apabila pihak pembangkang telah pun menawarkan gencatan politik dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, inilah masanya untuk kita menginstitusikan Parlimen,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Program Outreach Vaksinasi Dewan Undangan Negeri (DUN) Menglembu di Dewan Orang Ramai Lahat, di sini, hari ini.
Turut hadir Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Menglembu, Steven Chaw Kam Foon; ADUN Canning, Jenny Choi Tsi Jen dan ADUN Jelapang, Cheah Pou Hian.
Kah Woh yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, biarpun ahli Parlimen pembangkang belum menerima sebarang notis mengenai pencalonan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, pandangan Azalina perlu dipertimbangkan.
Menurutnya, Azalina dalam kenyataan selepas melepaskan jawatan Timbalan Yang Dipertua sebelum ini menjelaskan perlu salah satu jawatan tersebut diberikan kepada pembangkang bagi memastikan pembaharuan institusi Parlimen dapat dilaksanakan.
“Namun, apabila kami dengar (Ahli Parlimen Pontian) Ahmad Maslan, mungkin akan dicalonkan sebagai Timbalan Yang Dipertua, itu merupakan perkembangan yang amat menyedihkan kerana kita mungkin hilang satu peluang keemasan untuk memantap institusi Parlimen yang kita ada,” katanya.
Sementara itu, V Sivakumar berkata, jawatan Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat perlu digalas oleh individu yang bersih daripada pertuduhan mahkamah.
“Masalahnya sekarang, apabila kita menamakan seorang calon yang mempunyai kes berkaitan mahkamah, bagaimana kita mahu menghormati yang duduk di kerusi begitu mulia sekali tetapi mempunyai latar belakang yang kotor.
“Jadi, benda ini tidak boleh diterima akal dan saya memang tidak faham mengapa dalam begitu ramai orang, kenapa pilih Ahmad Maslan.
“Sepatutnya orang-orang yang mempunyai kes di mahkamah jangan diberi apa-apa jawatan penting dan saya rasa amat kecewa sekali kerana mencemarkan institusi Yang Dipertua Parlimen,” katanya. – UTUSAN ONLINE