China bertindak balas ceroboh Malaysia selepas TUDM buat latihan dengan AS - Utusan Malaysia

China bertindak balas ceroboh Malaysia selepas TUDM buat latihan dengan AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tidak sampai 24 jam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan latihan bersama-sama Amerika Syarikat (AS), China mula bertindak balas memberi ‘amaran’.

 

Beberapa portal pertahanan antarabangsa hari ini melaporkan sejumlah kapal Pengawal Pantai negara itu menceroboh perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia pagi tadi, antaranya dua kapal negara komunis itu dengan kod CCG 5202 dan CCG 6307 bertindak biadab memasuki kawasan Sabah yang kaya dengan gas dan minyak mentah berkualiti.

 

Mereka dilihat mengiringi kapal peninjau penyelidikan China dikenali Da Yang Hao yang sebelum itu angkuh menceroboh perairan Vietnam sebelum diusir negara ASEAN tersebut.

 

Setakat pukul 10.20 pagi waktu Malaysia, kapal itu hanya sejauh 50 batu nautika atau 93 kilometer dari kapal carigali West Capella disewakan syarikat petroleum nasional, Petronas.

 

Menurut laporan, Da Yang Hao pernah cuba menceroboh Pulau Natuna di Laut China Selatan, namun, segera bergegas keluar apabila kapal tentera laut Indonesia tiba tanpa dijangka.

 

Begitu juga ia dilaporkan ada bertindak mahu memasuki perairan Brunei, tetapi, kemudian pantas melarikan diri apabila negara kecil Borneo itu mengerahkan kapal perangnya berkawal.

 

Media luar negara melaporkan, Da Yang Hao pada asalnya dilihat sengaja mahu melakukan provokasi dengan ceroboh Vietnam pada Jumaat lalu, namun, tiba-tiba ia mengubah haluan.

 

Langkah mengejut itu dipercayai sebagai isyarat amaran kepada Malaysia yang melancarkan Op Curiga bagi mengekang kehadiran banyak pesawat tentera udara China akhir-akhir ini.

 

Kebetulan, TUDM pada hari berkenaan mempamerkan ‘kekuatan’ menerusi latihan bersama pesawat pengebom B 52 dari markas udara AS di Guam, sebuah pulau di Lautan Pasifik.

 

Ia menyaksikan buat julung kali sejumlah jet pejuang Hawk 208 dan 108 serta pesawat tempur Sukhoi Su-30MKM dan F/A-18D milik TUDM ‘menawan’ ruang angkasa ZEE negara kita.

 

Tindakan Malaysia itu ‘memeranjatkan’ China yang sebelum itu melakukan latihan dengan beberapa kapal perang Tentera Laut Singapura di zon dipertikaikan di Laut China Selatan.

 

Kehadiran banyak kapal tentera dan pesawat rejim komunis itu dipercayai bagi memberi mesej kepada negara-negara anggota ASEAN agar tidak cuba menuntut perairan berkenaan.

 

Namun, langkah agresif China dikecam Barat kerana cuba mengulangi perkara sama setelah ‘buli’ Taiwan apabila mengerah ratusan jet tempurnya menceroboh pulau itu minggu lalu.

 

Barat turut mengutuk Beijing kerana ‘bongkak’ di Laut China Selatan tetapi pada masa sama, masih mengekalkan rekod buruk hak asasi manusia di wilayah Xinjiang dan Hong Kong. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.