PETALING JAYA: Bukit Bendera, Pulau Pinang memperoleh pengiktirafan sebagai tapak rizab biosfera semasa mesyuarat Majlis Penyelarasan Antarabangsa kali ke-33, Program Man and the Biosphere (ICC MAB), hari ini.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada kerajaan negeri Pulau Pinang atas pengiktirafan berkenaan.
Beliau berkata, pengiktirafan itu adalah satu merupakan kejayaan buat negara dan kerajaan negeri khususnya dalam pengurusan kawasan berkepentingan biodiversiti di samping komitmen dalam melaksanakan pembangunan mampan.
“Rizab biosfera Bukit Bendera berkeluasan 12,481 hektar merupakan green lung kepada Pulau Pinang yang melibatkan kawasan sekitar termasuklah Taman Botani, Taman Negara Pulau Pinang, enam hutan simpanan kekal dan dua empangan,” ujarnya.
Untuk rekod, Bukit Bendera menjadi kawasan ketiga menerima pengiktirafan tersebut selepas Tasik Chini, Pahang pada 2009 dan Banjaran Crocker, Sabah pada 2014 oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Menurut Takiyuddin, rizab biosfera Bukit Bendera juga merangkumi tiga ekosistem utama iaitu kawasan berhutan, pantai dan marin yang menyokong pelbagai rangkaian flora dan fauna, termasuk mamalia serta burung hijrah migrasi terancam.
“Sehingga kini, terdapat 2,456 spesies tumbuhan, 131 spesies fungi, 300 spesies artropod, 157 spesies vertebrata, 26 spesies amfibia, 87 spesies reptilia, 150 spesies burung, 30 spesies mamalia dan 5 spesies marin yang terdapat di kawasan tersebut.
“20 spesies flora dan 550 spesies fauna di kawasan itu telah disenaraikan sebagai terancam dalam International Union for Conservation of Nature’s Red List (IUCN Red List) seperti penyu, ikan lumba-lumba, tenggiling, kongkang dan Penang Island Rock gecko.
“Kementerian yakin kerajaan negeri Pulau Pinang terus komited dalam menguruskan tapak rizab biosfera dengan baik dan berusaha mengekalkan status pengiktirafannya pada masa akan datang demi melaksanakan demi melaksanakan fungsi-fungsi yang telah ditetapkan di bawah program MAB,” katanya. -UTUSAN ONLINE