Buka sekolah: KPM perlu tumpu tiga aspek - i-Guru - Utusan Malaysia

Buka sekolah: KPM perlu tumpu tiga aspek – i-Guru

Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-GURU) menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) memberi tumpuan terhadap tiga aspek seiring dengan pembukaan sekolah Oktober ini. 

Presidennya, Mohd Azizee Hasan berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berhubung pembukaan sekolah pada 3 Oktober khususnya dalam mendepani pengoperasian sekolah dalam keadaan endamik. 

Katanya, pengumuman itu diharap dapat memberikan maklumat yang tepat kepada semua pihak terutama warga guru, pentadbir sekolah dan ibu bapa serta menjelaskan kekeliruan-kekeliruan yang timbul sebelum ini.

“Namun, beberapa hal yang perlu diberi tumpuan iaitu, mempercepatkan usaha vaksinasi murid kelas peperiksaan bagi mengurangkan risiko jangkitan dan ekosistem pendidikan selamat serta terjamin.

“KPM juga perlu memberikan autonomi kepada pihak sekolah dalam menentukan bentuk pergiliran pelajar dengan memberikan ruang dan pilihan kepada pihak sekolah untuk memilih kaedah terbaik berdasarkan komposisi murid serta kemudahan infrastruktur sedia ada.

“Menambah baik prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dengan mengambil kira dua kategori pelajar iaitu yang telah divaksin dan belum divaksin. 

“Ini penting agar pengoperasian sekolah nanti dapat dikawal selia dengan baik dan meminimakan kadar jangkitan,” katanya dalam satu kenyataan semalam. 

Semalam, Mohd. Radzi dalam satu sidang media memaklumkan sesi persekolahan dibuka semula secara berperingkat mengikut Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 3 Oktober depan dengan kapasiti 50 peratus murid secara penggiliran mingguan bagi pembelajaran bersemuka. 

Kelas secara fizikal itu hanya melibatkan negeri di bawah Fasa 3 dan 4 manakala negeri di bawah Fasa 1 dan 2, sekolah kekal ditutup kecuali bagi pelajar yang akan menduduki peperiksaan utama.

Menurut Azizie, penjelasan pembukaan sekolah secara berfasa dan berperingkat itu diharap dapat melegakan ibu bapa serta menekankan keutamaan kepada aspek keselamatan dan kesihatan eko sistem pendidikan tanpa mengabaikan aspek kelangsungan pendidikan. 

“Ini akan membantu menangani isu kelesuan dan hilang motivasi belajar akibat tempoh PdPR yang lama di rumah serta memastikan penguasaan 3M (membaca, menulis, mengira) kepada murid-murid pra sekolah dan berkeperluan khas.

“Pihak i-GURU mengucapkan terima kasih di atas kesediaan Menteri Kanan Pendidikan kerana sudi turun padang dan mengadakan libat urus dengan semua pihak termasuk pihak guru, pentadbir sekolah, ibubapa dan pakar-pakar dari Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN