SEREMBAN: Kelonggaran untuk merentas negeri termasuk untuk tujuan menziarahi keluarga termasuk ibu bapa sewajarnya dibenarkan namun orang ramai perlu sentiasa diingat untuk tidak menyertai sebarang aktviti keraian termasuk majlis kenduri-kendara.
Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, kerajaan sudah tidak punya pilihan kerana rakyat sudah terlalu lama disekat pergerakan mereka sedangkan jangkitan kes Covid-19 di negara tidak diketahui bila akan pulih.
“Bagi saya, rentas negeri itu tidak salah sama ada untuk tujuan menziarah ahli keluarga mahupun ibu bapa. Apa yang salah apabila mereka pergi kenduri dan majlis-majlis, berdasarkan pengalaman kita itu yang terjadi.
“Mungkin selepas program vaksin dilaksanakan, ia akan berkurangan berbanding sebelum ini, tetapi risikonya masih ada, saya harap kalau boleh kita hindari apa-apa majlis, janganlah buat, perhimpunan orang ramai pun, jumpa ibu bapa kemudian kita balik ke rumah, tidak perlu berkumpul beramai-ramai, sampai bila kita mahu berada dalam keadaan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Sementara itu, beliau menambah, memang sudah tiba masanya untuk orang ramai menjaga diri sendiri dan sentiasa beringat tentang keperluan mereka menjaga prosedur operasi standard (SOP) walau di mana-mana sekali pun.
“Kelonggaran untuk pelbagai aktiviti itu bagus dan penting termasuk untuk membuka semula sekolah cuma yang penting, rakyat perlu tahu kes Covid-19 masih banyak berada dalam komuniti. Walaupun kita sudah diberi vaksin, kita kena ketahui ia tidak boleh melindungi 100 peratus, kita masih boleh dijangkiti malah menjangkiti orang lain.
“Ketika ini, kerajaan sudah buat macam-macam, kita risau tentang sikap rakyat. Kita kena berhati-hati, mana-mana pergi kita mesti patuh SOP, pengusaha premis perniagaan mesti pastikan mereka ikut SOP dan pelanggan mereka juga begitu, orang ramai pula kena pastikan mereka menjaga diri mereka sendiri, pakai pelitup muka, jaga penjarakan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Dr. Zainal Ariffin berharap supaya pihak berkuasa tidak berhenti untuk menjalankan penguat kuasaan dalam memastikan semua pihak dapat mematuhi SOP.
“Pihak penguatkuasa kena terus buat pemantauan, ambil tindakan tegas, kalau ada kedai, kilang tidak ikut peraturan, tutup sahaja operasi mereka, jangan beri keadaan ketika ini dilihat relaks sangat,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE










