fbpx

23 September 2021, 8:14 am

  TERKINI

Bebanan guru mungkin bertambah

Guru perlu bersedia menanggung beban berikutan sistem penggiliran bermula 3 Oktober ini. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pembukaan semula sekolah dengan menggunakan sistem penggiliran bermula 3 Oktober ini dilihat boleh mengakibatkan bebanan guru semakin bertambah.

Namun, ia harus diterima sebagai satu cabaran bagi membolehkan sesi persekolahan bersemuka diadakan semula setelah sekian lama pelajar mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Presiden Kesatuan Guru Sabah (STU), Said Saidi berkata, sesi persekolahan mengikut penggiliran dengan kapasiti 50 peratus setiap kelas mungkin akan menimbulkan kekeliruan.

SAID SAIDI

Malah, ia memerlukan guru memecahkan kelas kepada dua bahagian dan menyebabkan guru-guru terpaksa melakukan kerja sebanyak dua kali. Ini bermakna bebanan guru mungkin akan bertambah.

“Dari segi persediaan, sekolah di Sabah ini sudah cukup bersedia untuk dibuka semula kerana sekolah-sekolah memang mempunyai SOP yang ditetapkan.

“Malah, proses vaksinasi dalam kalangan guru dan warga sekolah di Sabah juga amat memuaskan.

“Kini, kita hanya menunggu pemberian vaksin kepada pelajar sekolah sahaja dan ia dijangka akan bermula pada awal November,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, berdasarkan statistik kes Covid-19 semasa di negeri ini, jangkitan dalam kalangan remaja juga amat membimbangkan.

Maka, perancangan yang lebih teliti perlu bagi memastikan pembukaan semula sekolah tidak memberi risiko terhadap kesihatan dan keselamatan pelajar.

“Sekiranya ada jangkitan berlaku di sekolah, penutupan sekolah perlu dilakukan secara serta-merta bagi membolehkan proses sanitasi dilakukan di sekolah.

“Penutupan sekolah bagi tujuan sanitasi pun hanya beberapa hari sahaja.

“Justeru, perhatian dan pemantauan sepenuhnya perlu diberikan sebaik sahaja sekolah dibuka semula,” katanya.

Jelas beliau, tanggungjawab guru ketika ini amat berat kerana pembudayaan SOP baharu memerlukan masa untuk dijadikan amalan dalam kalangan pelajar.-UTUSAN ONLINE

POPULAR

KOSMO! TERKINI

BERITA BERKAITAN