LUMUT: Persatuan Nelayan Negeri Perak (Penggerak) memberi bantuan 3,000 kilogram (kg) ikan segar kepada kira-kira 2,500 isi rumah di Taman Samudera, Seri Manjung yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 5 hingga 18 September ini.
Pengerusinya, Mansor Yusof berkata, bantuan bernilai RM15,000 itu diberikan sebagai tanda prihatin dan tanggungjawab sosial terhadap kira-kira 10,000 penduduk di situ yang terkesan dengan PKPD dan pandemik Covid-19, dengan setiap rumah menerima satu kg ikan kembung.
“Walaupun Taman Samudera ini hanya ada 20 nelayan dan bukan penempatan nelayan, tetapi ia kawasan kejiranan pejabat Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Perak, maka, wajar bantuan diberikan kepada semua penduduk di situ,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan tersebut kepada Pegawai Daerah Manjung, Shamsul Ridzuan Idris, di Seri Manjung hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah LKIM Perak, Mohamad Rizal Sahari; Penghulu Mukim Sitiawan, Zarina Ishak dan Penghulu Mukim Lumut, Sabdin Idris.
Menurut Mansor, sumbangan itu akan disalurkan hari ini menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan tugas pengagihan dilakukan agensi berkaitan seperti Pasukan Sukarelawan Malaysia (Rela).
Beliau juga berkata, sepanjang tahun lalu, persatuan itu memberi sumbangan tambahan RM35,000 kepada tujuh persatuan nelayan kawasan (PNK) bagi meringankan bebanan golongan nelayan akibat Covid-19.
Selain itu, jelasnya, PNK di Perak turut menerima bantuan tahunan keseluruhan RM35,000 serta tambahan RM20,000 lagi sumbangan LKIM negeri.
“Bagi kira-kira 700 nelayan yang tergolong dalam kumpulan asnaf, mereka turut menerima bantuan zakat yang disalurkan oleh Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) berjumlah RM66,000 pada tahun ini dan RM54,000 tahun lalu,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










