KLANG: Beberapa struktur bangunan yang dibina secara haram atas tanah kerajaan di sekitar Bandar Sultan Suleiman di sini digempur pihak berkuasa susulan dikenalpasti menjadi ‘port mat pet’.
Tindakan itu dilakukan Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan pelbagai agensi lain termasuk polis dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang apabila menerima aduan daripada orang awam berhubung kegiatan di kawasan tersebut yang turut menjadi tempat penjualan serta pengumpulan barang lusuh dan terpakai.
Menurut Yang Dipertua MPK, Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin, lokasi di Jalan Sultan Mohamed 1 dikenalpasti terdapat struktur binaan dibuat tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Tindakan penguatkuasaan dilakukan ke atas dua struktur gerai yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 46(1)(a)(b) Akta Jalan Parit dan Bangunan iaitu membuat binaan kekal di atas rezab jalan.
“Sementara itu,operasi penguatkuasaan kedua pula di Lintang Sungai Keramat 6, Klang Utama dan seterusnya melibatkan operasi bersama antara MPK dan PTD yang diketuai sendiri Setiausaha MPK, Elya Marini Darmin di bawah rentis TNB Solok Merak, Kawasan 17, Klang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan PDT KLang mengeluarkan notis atas kesalahan di bawah Seksyen 425(1)(a) Kanun Tanah Negara kerana menceroboh tanah kerajaan tindakan pemotongan bekalan elektrik dan air juga diambil serta merta kerana melakukan penyambungan secara haram.
“Operasi seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi menangani isu binaan haram dan kerjasama dengan agensi yang terlibat akan terus dipertingkatkan bagi memastikan tiada pihak yang melanggar undang-undang yang ditetapkan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










