PUTRAJAYA: Banduan baharu yang dijangkiti Covid-19 menyebabkan Penjara Penor, Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan menjadi antara enam lokaliti di negeri berkenaan melaksanakan perintah itu mulai lusa.
Wabak itu menyebabkan Kluster Penor di penjara berkeluasan 80 hektar sejak 8 Ogos itu bukan sahaja menyebabkan 293 tahanan lain dijangkiti Covid-19, malah, dua banduan lelaki maut, masing-masing berusia 60 tahun dan 69 tahun.
Kedua-duanya meninggal dunia pada 28 Ogos lalu di penjara yang asalnya ialah Sekolah Henry Gurney Kuantan dan dibuka pada 1982.
Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md. Saad berkata, turut sama dikenakan PKPD di negeri tersebut ialah tiga perkampungan Orang Asli di daerah Temerloh iaitu Kampung Kuala Terbol, Kampung Pian dan Kampung Lubok Wong.
Ia berpunca Kluster Komuniti Terbol yang bermula daripada seorang wanita tempatan berusia 40 tahun bergejala disahkan positif pada 23 Ogos lalu sebelum menjangkiti 35 individu lain.
“Dua lagi lokaliti di negeri itu yang juga dilaksanakan PKPD untuk tempoh sama ialah Rumah Kongsi Pinggiran Goh, daerah Kuantan dan kawasan Sempalit di Mukim Gali, daerah Raub selain Taman Keramat dan Angkasa Apartment di Kota Kinabalu, Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu kata Rodzi, Kompleks Penjara Bentong, Pahang yang dikenakan PKPD sejak 24 Julai lalu dan sepatutnya tamat esok, namun, disambung lagi hingga 17 September depan termasuk dua perkampungan Orang Asli di Pos Blau, Jajahan Gua Musang, Kelantan iaitu Kampung Batang dan Kampung Blau.
Bagaimanapun ujarnya, Kampung Orang Asli Sungai Lebak, daerah Bentong, Pahang yang telah dikenakan PKPD sejak 21 Ogos lalu, akan berakhir esok begitu juga kawasan perumahan Taman Nilam (Zon Biru), Mukim Kuah, daerah Langkawi, Kedah.
Selebihnya melibatkan sembilan lokaliti di sekitar Sabah antaranya Kampung Pulau Penampang, daerah Kota Kinabalu yang berakhir awal daripada sepatutnya pada 8 September depan selain University Condominium Apartment 2 dan Rumah Murah Kepayan dalam daerah yang sama.
Sementara lokaliti lain tamat esok seperti ditetapkan iaitu Kampung Baru Pasir Putih dan Kampung Wallace Bay di Tawau; Perumahan Ladang Cepat Wawasan 7000 dan Meridian Paitan di Beluran serta Kampung Gambaron 1 dan Ladang Ribu Bonus di Telupid.-UTUSAN ONLINE