PUTRAJAYA : Kementerian Pengangkutan menjelaskan bantuan one-off RM500 kepada baki 27,627 pemandu e-hailing akan di salurkan mulai Jumaat ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, beliau bagaimanapun memohon maaf di atas kelewatan penyaluran bantuan itu.
Beliau berkata, kementeriannya amat prihatin berhubung isu pembayaran bantuan yang dibangkitkan komuniti pemandu e-hailing yang masih belum menerima pembayaran bantuan tersebut.
“Berdasarkan senarai dikeluarkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), seramai 56,092 pemandu e-hailing memenuhi syarat kelayakan dan layak untuk menerima bantuan one-off berjumlah RM500.
“APAD selesai membuat pembayaran kepada 28,465 pemandu e-hailing yang layak bermula 26 Julai hingga 6 Ogos lalu.
“Bagaimanapun, masih terdapat 27,627 pemandu yang masih belum menerima bayaran bantuan tersebut,” katanya menerusi kenyataan akhbar, hari ini.
Katanya, peruntukan bagi tujuan pembayaran kepada baki pemandu layak yang masih belum menerima bantuan tersebut telah pun disalurkan kepada APAD pada 3 September lalu.
Ka Siong berkata, APAD sedang memproses pembayaran melalui bank yang dilantik kerajaan iaitu Hong Leong Bank dan pembayaran akan dibuat kredit automatik ke dalam akaun bank 27,627 pemandu terlibat bermula Jumaat ini.
Menurut beliau, kementeriannya sentiasa komited dalam memastikan kebajikan pemandu e-hailing sentiasa terbela.
“Kami berharap pembayaran bantuan RM500 ini dapat membantu meringankan beban kewangan yang dihadapi pemandu e-hailing dalam mendepani ujian pandemik Covid-19 ini,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan bantuan one-off RM500 kepada pemandu e-hailing menerusi Program Strategik Memperkasa Rakyat & Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+). -UTUSAN ONLINE