KUALA LUMPUR: Lebih RM2 bilion didakwa telah dibelanjakan kerajaan untuk menyiapkan Buku Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).
Perkara itu dinyatakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menjelaskan peruntukan itu diberi kepada kepada konsultan luar negara.
Jelas Anwar, ia sewajarnya diberikan kepada pakar-pakar dalam negara untuk menjalankan kajian, termasuk berkaitan kemiskinan dalam menyiapkan Buku RMK12.
“Saya difahamkan lima tahun dulu telah dibelanjakan RM1.8 bilion (kepada konsultan luar). Jadi saya nak tanya, lebih RM2 bilion diberikan kepada konsultan untuk menyiapkan Buku RMK12 ini, mungkin sebahagiannya (kandungan kajian) kita boleh guna pakai.
“Tetapi saya masih yakin, maklumat dan perancangan dalam negara boleh dan mampu dikendalikan oleh kepakaran dalam negara kerana mereka lebih faham masalah dalam negara. Siapa boleh faham masalah kemiskinan dan kesenjangan dalam negara, bukan pakar-pakar konsultan luar,”katanya ketika membahaskan RMK-12 di Dewan Rakyat, hari ini.
Tambah beliau, kepercayaan untuk menguruskan ekonomi perlu diberi dalam kalangan warganegara Malaysia yang nyata lebih memahami keadaan negara.
Dalam pada itu, Anwar turut menggesa kerajan supaya memberi fokus kepada golongan bumiputera dan B40.
“Daripada kita secara berterusan ingin memperkotak katikkan tentang kuota bumiputera dan sebagainya, saya mahu beri satu soalan kerana orang anggap kita ini tidak setuju dengan dasar Bumiputera. Apa salahnya kalau kita tumpukan latihan, mutu pendidikan dan mutu kesihatan awam kepada golongan miskin desa dan bandar yang majoritinya adalah golongan Bumiputera?
“Wujudkan peruntukkan itu dan bukannya ditekankan isu kedudukan di syarikat berkaitan kerajaan (GLC), soal kontrak, soal hendak lahirkan ramai jutawan. Kita tidak peduli perihal berjuta-juta, Bumiputera (kurang berkemampuan)yang patut diberikan keutamaan dan perhatian,” katanya. -UTUSAN ONLINE










