Antivaksin akan mengalah - Utusan Malaysia

Antivaksin akan mengalah

APAKAH mereka yang menolak vaksin Covid-19 sedia berdepan dengan pelbagai sekatan yang dikenakan terhadap mereka? - GAMBAR HIASAN AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pakar psikologi dan sosial menyifatkan sifat penentang kumpulan antivaksin yang tidak sampai 10 peratus di negara ini akan hilang perlahan-lahan berikutan terlalu banyak sekatan terhadap mereka yang menolak vaksin.

Sebagai contoh, individu antivaksin tidak dapat menikmati keistimewaan untuk dine-in di restoran, berurusan di pejabat kerajaan, menguruskan hal rasmi, mengunjungi pusat beli-belah, merentas negeri apatah lagi melancong ke luar negara.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Dekan Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Abdul Razak Abd Manaf berkata, kumpulan antivaksin itu tidak akan bertahan jika pihak swasta dan kerajaan mengenakan sekatan demi sekatan kepada mereka.

Menurut beliau, satu ketika nanti, individu antivaksin akan bosan kerana banyak urusan tidak dapat dilaksanakan hanya kerana mereka tidak mahu menerima vaksin.

“Jadi pada hari tersebut, kumpulan ini akan cari vaksin akibat desakan dan berdepan kesukaran melaksanakan tuntutan tugas,,” kata beliau.

Bagaimanapun, Abdul Razak memberitahu, Kementerian Kesihatan perlu berterusan memberi penerangan mengenai kebaikan vaksin dan tujuan kempen mengambil vaksin ketika seluruh dunia masih diancam Covid-19.

“Penjelasan mengenai vaksin harus berupaya mencabar pendirian yang dipegang kumpulan ini,” katanya.

Selain itu, Abdul Razak memberitahu, golongan antivaksin mungkin lebih banyak menerima maklumat kurang tepat sehingga mereka cenderung mengambil pendekatan tunggu serta llihat dalam isu pemberian vaksin.

Sementara itu, Pakar Psikologi Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Haslinda Abdullah berkata, golongan anti vaksin lebih cenderung mencari dan mendapatkan maklumat berkaitan yang selari dengan pemikiran mereka.

“Mereka ini ada juga yang profesional cuma persekitaran, kepercayaan dan sosial mereka menyebabkan mereka agak skeptikal dengan perkara-perkara baharu,” ujarnya.

Bagaimanapun, menurut Haslinda, jika kumpulan antivaksin itu berpunca akibat tidak menerima maklumat tepat mengenai kebaikan vaksin, ia lebih mudah ‘diuruskan’ berbanding individu yang sengaja menutup minda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN