KUALA LUMPUR: Aktiviti sosial dan bersantai secara beramai-ramai terutama di Lembah Klang dibimbangi mencetuskan kes sporadik dalam kalangan komuniti yang menyebabkan peningkatan jangkitan Covid-19 dalam masa terdekat.
Ini berikutan jangkitan Covid-19 tetap berlaku walaupun rakyat negara ini telah mencapai imuniti berkelompok.
Malah, negara masih belum lagi memasuki fasa endemik yang membolehkan jangkitan berkenaan dapat dikawal.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Akademi Perubatan Pekerjaan dan Persekitaran Malaysia, Prof. Madya Dr. Marzuki Isahak berkata, buat masa ini, orang ramai masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) walaupun kerajaan memberi kelonggaran kepada penerima dua dos lengkap vaksin.
Pada masa sama, mereka dinasihatkan untuk tidak lalai dalam mematuhi semua peraturan ditetapkan sekalipun kadar vaksinasi berjalan dengan baik dan trend kematian serta pesakit kategori tiga hingga lima menurun.
“Keadaan ini memang membimbangkan tetapi kita tidak boleh menyekat kegiatan sosial dan ekonomi rakyat selamanya. Kita buka secara berperingkat dengan harapan kes jangkitan dapat dikawal dan tidak membebankan sistem kesihatan.
“Sebelum ini, kerajaan sudah nyatakan membuka semula ekonomi dan sosial tidak bermakna kes sudah menurun atau tahap bahaya itu berkurang. Kita buka dengan harapan orang ramai faham akan SOP,” katanya ketika dihubungi semalam.
Kes sporadik merupakan kes yang tidak diketahui punca jangkitannya, tidak dapat dikaitkan dengan kes-kes lain atau kluster tertentu dan berlaku secara terpencil dan rawak. 80 Peratus daripada jumlah kes di negara ini membabitkan kes sporadik sejak 1 Mei lalu.
Peralihan daripada Fasa 1 ke Fasa 2 dalam Pelan Pemulihan Negara di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang membenarkan aktiviti rentas negeri bermula Jumaat lalu menyebabkan orang ramai keluar bersama kanak-kanak bersiar-siar di tempat awam.
Semakan Utusan Malaysia menerusi laman rasmi Covidnow pula mendapati, semua graf kadar kematian, jumlah pesakit yang memerlukan bantuan alat pernafasan atau ventilator, rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dan dimasukkan ke hospital merekodkan penurunan signifikan. Setakat ini, jumlah penerima dua dos vaksin seramai 17,177,911 dan 21,372,278 bagi sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin.
Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Mohd. Dzulkhairi Mohd. Rani berkata, masyarakat perlu mengambil pendekatan keluar rumah hanya bila perlu.
Hal itu termasuk tidak membawa kanak-kanak tanpa ke tempat yang tidak sesuai dan tertutup kerana dikhuatiri dengan melakukan tindakan tersebut menyumbang kepada peningkatan kes jangkitan terhadap golongan itu.
“Saya berpandangan orang ramai sudah faham mengenai SOP kerana kita sudah mengamalkannya sejak lebih setahun lalu. Cuma, masyarakat harus bersabar sedikit lagi supaya kiya boleh kembali kepada keadaan biasa.
“Kes-kes sporadik masih ada dalam kalangan komuniti kerana kebanyakan mereka yang didapati positif adalah tidak bergejala atau hanya bergejala ringan.
“Jadi, langkah yang terbaik ialah terus mengamalkan SOP dan kadar vaksinasi yang perlu bergerak secara seiring. Inshaallah kita boleh melalui situasi ini sedikit masa lagi,” katanya. – UTUSAN ONLINE










