KOTA BHARU: Ahli Yayasan Guru Malaysia Bhd. (YGMB) bertambah hampir 5,000 orang dalam tempoh lebih setahun seluruh negara ini berdepan ancaman penularan pandemik Covid-19.
Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, semakin ramai guru menyedari manfaat diterima mereka jika bersama YGMB sepanjang mengharungi pandemik yang berlarutan hingga kini.

Katanya, pertambahan bilangan ahli baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan warga pendidik di seluruh negara yang menganggotai YGMB kini mencecah 100,000 orang.
“Menerusi salah satu skim YGMB, kita akan memberi bantuan kewangan secara ‘one-off’ sebanyak RM300 kepada ahli sekiranya mereka dijangkiti Covid-19.
“Setakat ini, YGMB telah membelanjakan puluhan ribu ringgit menerusi skim itu sekali gus membantu meringankan beban ahli yang terkesan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, Pengarah Pendidikan negeri, Zulkernai Fauzi menyempurnakan Majlis Penyampaian Manfaat Khairat Kematian YGMB yang turut dihadiri Wan Munadi serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah YGMB, Amran Ghani dan Ahmad Yani Muhammad.
Dalam majlis itu, YGMB menyalurkan bantuan sebanyak RM8,000 kepada ibu tunggal, Asiah Jusoh, 49, selepas suaminya, Khairudin Salleh, 50, meninggal dunia akibat radang hati April lalu.
Allahyarham Khairudin merupakan seorang guru yang bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Kubor 1, Tumpat dan telah mendaftarkan diri sebagai ahli YGMB sejak sembilan tahun lalu.
Sementara itu, Zulkernai berharap lebih ramai guru di Kelantan menyertai YGMB bagi membolehkan kebajikan mereka dan keluarga masing-masing terbela apabila berdepan sebarang musibah.
“Sebagai contoh, khairat kematian diterima Puan Asiah ini secara tidak langsung menunjukkan keprihatinan YGMB dalam memastikan ahlinya yang merupakan golongan pendidik terus dibantu. -UTUSAN ONLINE