ISKANDAR PUTERI: Sejumlah 97.9 peratus daripada 443 responden yang mengikuti Program Ujian Rintis perkhidmatan Iskandar Malaysia Bus Rapid Transit (IMBRT) baru-baru ini memberi maklum balas positif terhadap perkhidmatan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohd. Solihan Badri berkata, IMBRT merupakan sistem pengangkutan komprehensif yang bakal menjadi tulang belakang kepada pengangkutan awam di Iskandar Malaysia.
Menurut beliau, projek seumpamanya di Malaysia itu bernilai RM 2.56 bilion.
“Sehingga Jun 2021, status pelaksanaan projek IMBRT kini berada di tahap 21.57 peratus berbanding 23.56 peratus sepertimana yang dirancang.
“Perkhidmatan IMBRT ini dijangka akan memulakan operasi sepenuhnya pada suku keempat tahun 2023,” katanya menjawab soalan Cheo Yee How (PH-Perling) berhubung perkembangan terkini pelaksanaan projek IMBRT.
Solihan yang juga merupakan ADUN Tenang berkata demikian pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, di Kota Iskandar hari ini.
Perkhidmatan itu akan disambungkan ke projek Sistem Transit Rapid (RTS), Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Larkin Sentral, Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (PLBEGJB) dan juga perkhidmatan feri di Stulang Laut dan Iskandar Puteri.
Tambah beliau, setakat April lalu, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) telah membelanjakan sejumlah RM151 juta untuk memuktamadkan rekabentuk kejuruteraan infrastruktur, menilai rekabentuk keperluan operasi dan kewangan, kerja-kerja penyiasatan dan pengambilan balik tanah.- UTUSAN ONLINE










