92 saman dikeluarkan dalam Op Samseng Jalanan - Utusan Malaysia

92 saman dikeluarkan dalam Op Samseng Jalanan

SEBAHAGIAN penunggang motosikal diperiksa polis dalam Op Samseng Jalanan di sekitar bandar Ipoh, semalam. - UTUSAN/IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis mengeluarkan sebanyak 92 saman atas pelbagai kesalahan trafik dalam Op Samseng Jalanan di tiga lokasi di sekitar Ipoh, semalam.

 

Operasi bermula pukul 6 petang itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ipoh di sekitar bandar Ipoh, Persiaran Brash (Padang Polo) dan Persiaran Bandaraya (Dataran Majlis Bandaraya Ipoh).

 

Operasi itu disertai seramai 10 pegawai dan anggota BSPT Ipoh.

 

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, saman dikeluarkan selepas memeriksa sebanyak 115 kenderaan dan 130 individu.

 

Katanya, tiga buah motosikal turut disita sepanjang operasi tersebut dijalankan.

 

“Dalam operasi itu, sebanyak 92 saman dikeluarkan bagi pelbagai kesalahan termasuk tidak mempunyai lesen, ubah suai ekzos dan kenderaan, nombor plat,  tiada insurans dan cermin sisi.

 

“Tiga motosikal disita untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 atas kesalahan ubah suai kenderaan,” katanya di sini hari ini.

 

Menurut beliau, operasi itu diadakan bagi mengesan penunggang motosikal yang gagal mematuhi peraturan lalu lintas di samping mengenal pasti motosikal yang diubahsuai yang cenderung terlibat dalam kegiatan samseng jalanan.

 

“Golongan ibu bapa dinasihatkan sentiasa peka dan memantau aktiviti anak-anak supaya tidak terjebak dengan kegiatan yang tidak bermoral,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN