8 tahun merana bekalan air tidak menentu - Utusan Malaysia

8 tahun merana bekalan air tidak menentu

PENDUDUK Flat Bukit Tinggi fasa 2 berkumpul bagi menunjukkan bantahan terhadap kontraktor kerja pembaikan air kawasan Flat Bukit Tinggi di Flat Bukit Tinggi 2 Bandar Bukit Tinggi Klang pada hari ini. UTUSAN / ZULFADHLIZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Kira-kira 700 penduduk tingkat 3 dan 4 di 16 blok Pangsapuri Bandar Bukit Tinggi Fasa 2, di sini membuat perhimpunan aman untuk menyatakan bantahan kepada kerajaan negeri kerana cukup tertekan akibat berhadapan gangguan bekalan air yang tidak menentu sejak lapan tahun lalu.

Gangguan berkenaan dikatakan kerap berlaku pada waktu penting sebelah pagi dan petang sebelum berlarutan hingga waktu malam menyebabkan rutin harian penduduk di sana terganggu.

Menurut S. Anjali,60, dia yang tinggal di tingkat 4 menghadapi masalah ketiadaan air di waktu petang dan malam hingga menyukarkan dia melakukan kerja rumah.

“Sudah lapan tahun, pukul 6.30 petang hingga 9.00 dan 11.30 malam hingga 6.00 pagi air tiada. Saya dan keluarga perlu menggunakan air tetapi air tiada.

“Malam-malam kita hendak gunakan air untuk mandi, membasuh pakaian dan membersihkan pinggan mangkuk pun menjadi masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perhimpunan aman penduduk pangsapuri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memohon pihak berkuasa bertindak membantu penduduk menyelesaikan bekalan air terganggu di pangsapuri tersebut.

Anjali berkata, dia berharap pihak Pengurusan Air Selangor Sdn.Bhd. (Air Selangor) dapat membantu penduduk menyelesaikan permasalahan air yang tidak dapat digunakan 24 jam sehari.

Sementara seorang penduduk, Hamidon Sentol, 57, berkata, dia sudah tinggal di pangsapuri tersebut sejak 15 tahun lalu dan masalah bekalan air yang berlaku setiap petang dan malam tersebut sudah berlarutan dan telah diadukan kepada pihak Badan Pengurusan Bersama (JMB) namun masalah tidak dapat diselesaikan hingga kini.

“Sebelum ini semasa mula tinggal di sini lapan tahun pertama bekalan air lancar seperti biasa, namun tujuh tahun lalu bekalan air tiba-tiba terhenti dua kali sebelah petang dan malam hingga ke pagi.

“Saya berharap semua pihak bertanggungjawab menyelesaikan masalah air yang kejap ada kejap tiada ini. Jika ia berpunca dari tekanan rendah sebelah petang hingga ke pagi maka carilah jalan penyelesaian,” luahnya.

Jelasnya lagi, jika air tiada semasa kenduri kahwin dan berlaku kematian sudah pasti urusan tersebut tergendala.

Sementara itu Pengerusi Gabungan NGO Selangor, Datuk Nazilah Idris berkata, beliau telah berbincang dengan pihak JMB dan pihak Air Selangor bagi menyelesaikan masalah penduduk pangsapuri tersebut.

“Saya difahamkan, pihak Air Selangor akan menghantar wakil ke pangsapuri ini untuk mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah ketiadaan air sejak lapan tahun lalu.

“Kita berharap pihak Air Selangor membantu penduduk menyelesaikan permasalahan bekalan air yang tidak berfungsi 24 jam dalam masa terdekat,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN