ALOR SETAR: Lebih 500,000 masalah ketiadaan paparan sijil vaksin digital di aplikasi MySejahtera diselesaikan dalam tempoh seminggu ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pada masa sama, MySejahtera juga akan terus mengemas kini maklumat menerima vaksinasi dos pertama atau dos kedua sebelum ini.
Menurutnya, hasil siasatan yang dijalankan Kementerian Kesihatan mengenal pasti beberapa punca kepada masalah tersebut.
Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 95,347 aduan itu berpunca daripada MySejahtera seperti status penerima vaksin sebagai tanggungan, menyebabkan sijil vaksin digital individu tersebut terikat dengan pemilik akaun MySejahtera.
“Masalah lain pemilik akaun MySejahtera tidak mengesahkan nombor kad pengenalan di dalam akaun dan pengguna mempunyai lebih daripada satu akaun MySejahtera.
“Sijil digital vaksin hanya akan dipaparkan di dalam akaun MySejahtera yang digunakan ketika menerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan kerjanya ke Kedah di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor.
Beliau menambah, pihaknya juga menerima sebanyak 71,408 aduan yang diterima mengenai paparan sijil digital vaksin berpunca daripada PPV tidak melengkapkan proses dokumentasi setelah individu selesai menerima vaksin.
Bagi isu ini, jelasnya, MySejahtera sedang membuat penyelarasan dengan PPV yang terlibat untuk pastikan pengguna akan terima paparan sijil digital vaksin di dalam MySejahtera.
“Saya juga ingin mengingatkan para petugas PPV supaya semak dan pastikan setiap penerima vaksin telah menerima sijil vaksin digital di dalam aplikasi MySejahtera sebelum mereka meninggalkan PPV.
“Selain itu, terdapat juga aduan daripada individu yang menerima vaksin di PPV yang bukan dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan dan ProtectHealth Corporation (Protect Health). Masalah ini berlaku kerana PPV berkenaan tidak menggunakan sistem MySejahtera.
“Situasi ini menyebabkan sijil vaksin digital tidak dapat dipaparkan di MySejahtera sebaik sahaja proses pemberian vaksin selesai kerana sijil digital hanya akan dipaparkan di dalam aplikasi tersebut setelah PPV bukan kendalian Kementerian Kesihatan atau yang dikendalikan Protect Health menghantar maklumat kepada MySejahtera,” ujarnya.
Khairy menambah, individu yang telah menerima vaksinasi lengkap tetapi masih belum menerima sijil vaksin digital di aplikasi MySejahtera boleh menggunakan kad vaksinasi fizikal untuk memanfaatkan kemudahan bagi individu yang telah menerima vaksinasi lengkap.
“Saya juga menerima maklumat mengenai wujudnya sindiket-sindiket yang kononnya menjual sijil digital vaksin yang palsu.
“Ingin saya tegaskan di sini bahawa apa yang dilakukan oleh sindiket-sindiket ini sekiranya benar, adalah sangat tidak bertanggungjawab dan adalah satu penghinaan kepada usaha gigih petugas barisan hadapan serta sukarelawan vaksin,” katanya.- UTUSAN ONLINE