4 lokaliti di Pahang disambung PKPD akibat lonjakan kes baharu - Utusan Malaysia

4 lokaliti di Pahang disambung PKPD akibat lonjakan kes baharu

RODZI MD. SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Empat lokaliti di Pahang yang sudah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 4 September lalu, disambung 14 hari sehingga 1 Oktober ini.

 

 

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Rodzi Md. Saad berkata, antaranya meliputi tiga perkampungan Orang Asli dari suku kaum Jahut.

 

 

 

Ia melibatkan Kampung Kuala Terbol, Kampung Pian dan Kampung Lubok Wong yang sudah merekodkan 222 kes Covid-19 akibat kluster komuniti Terbol yang bermula pada 23 Ogos.

 

 

 

Penularan itu asalnya daripada seorang penduduk wanita tempatan berusia 40 tahun yang bergejala dan telah mengakibatkan seorang lelaki berumur 45 tahun maut pada Sabtu lepas.

 

 

 

Turut dilanjutkan PKPD ialah Kompleks Penjara Penor dalam daerah Kuantan yang sudah mencatatkan 450 kes kumulatif sejak kes indeks pada 28 Julai dan kematian dua banduan.

 

 

Kluster Tembok Penor di penjara berkeluasan 80 hektar itu mula diisytihar pada 8 Ogos dan juga menyebabkan seorang penduduk di Kampung Acheh, Pekan dijangkiti pada Isnin lalu.

 

 

Bagaimanapun tambah Rodzi, tiada kawasan baharu yang bakal dilaksanakan PKPD, malah enam lokaliti di tiga negeri akan tamat perintah itu secara serentak esok seperti dijadualkan.

 

Antaranya dua perkampungan masyarakat Orang Asli dalam kalangan etnik Temiar yang sudah lama dikenakan PKPD sejak 21 Ogos lalu iaitu Kampung Blau dan Kampung Batang di Gua Musang Kelantan.

 

 

 

Di Pahang pula, PKPD berakhir di kawasan Rumah Kongsi Pinggiran Goh, Daerah Kuantan dan Sempalit Mukim Gali, Daerah Raub yang telah diwartakan perintah itu pada 4 September.

 

 

 

Baki dua lokaliti lagi jelas beliau, melibatkan perumahan sekitar Daerah Kota Kinabalu, Sabah iaitu Tamat Keramat dan Angkasa Apartment yang dilaksanakan PKPD juga 4 September. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN