162 set bubu naga dirampas, 6 nelayan ditahan - Utusan Malaysia

162 set bubu naga dirampas, 6 nelayan ditahan

BUBU naga yang dirampas dari sebuah bot di perairan Pulau Talang dekat Pantai Remis semalam dan Ahad lalu. - UTUSAN/MARITIM MALAYSIA PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak merampas 162 set bubu naga manakala enam nelayan disyaki terlibat ditahan dalam dua kejadian berasingan di perairan dekat Pulau Talang, Pantai Remis dekat sini semalam dan Ahad lalu.

Pengarah Maritim Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, sebanyak 136 set bubu naga dirampas pada kedudukan dua batu nautika barat laut Pulau Talang pada pukul 4.40 pagi semalam.

“Bot peronda Maritim yang melakukan rondaan Op Pintas dan Op Sayong mengesan sebuah sampan gentian kaca tanpa nombor pendaftaran di lokasi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Shahrizan, setelah anggota bot peronda bertindak merapat dan melakukan pemeriksaan, didapati sampan tersebut menggunakan bubu naga sebagai peralatan menangkap ikan.

Jelasnya, seramai tiga kru warga tempatan berumur lingkungan 20 hingga 25 tahun ditahan manakala hasil tangkapan ikan dianggarkan 10 kilogram dirampas.

Terdahulu, pada 26 September lalu, sebanyak 26 set bubu naga juga dirampas di sekitar kawasan sama dan menjadikan keseluruhan rampasan 162 set di sekitar perairan Pulau Talang.

Menurut Shahrizan, semasa kejadian, bot gentian kaca yang mempunyai nombor pendaftaran itu sedang menurunkan bubu naga tanpa menyedari kehadiran Maritim Perak.

“Pemeriksaan lanjut mendapati bot terbabit dikendalikan tiga kru melibatkan seorang warga tempatan manakala dua kru warga Myanmar.

“Ketiga–tiga kru tersebut berumur lingkungan 20 hingga 30 tahun telah memperoleh hasil tangkapan ikan dianggarkan sebanyak 10 kg,” katanya.

Menurut Shahrizan, semua mereka boleh didakwa di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985 Seksyen 11(3)(c) iaitu menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

Katanya, penangkapan ikan atau hasil laut menggunakan bubu naga boleh mengancam pertumbuhan habitat marin dan berpotensi pupus serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan pantai.

“Sejumlah enam orang kru dalam tempoh tiga hari operasi itu telah ditahan. Bot bersama bubu naga yang digunakan dianggarkan bernilai hampir RM19,440 telah diiringi ke Jeti Perikanan Kampung Acheh, Sitiawan, bagi siasatan lanjut,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN