1,556 kematian akibat Covid-19 di Kedah - Utusan Malaysia

1,556 kematian akibat Covid-19 di Kedah

MOHD. HAYATI OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sebanyak 1,556 kematian akibat Covid-19 dicatatkan di Kedah sejak Januari hingga 5 September lalu di sembilan hospital kerajaan dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman berkata, kematian tertinggi dicatatkan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar iaitu berjumlah 504 orang diikuti Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani dengan 497 kematian.

 

“Selain itu, sebanyak 335 kematian dicatatkan di Hospital Kulim, 73 di Hospital Kuala Nerang, 47 di Hospital Baling, 35 di Hospital Sultanah Maliha (HSM), Langkawi, 32 di Hospital Sik, 26 di Hospital Yan dan lima di Hospital Jitra.

 

“PKRC Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Kulim pula mencatatkan dua kematian,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Zamri Yusuf (PH-Suka Menanti) yang bertanya mengenai angka korban kematian Covid-19 dan pecahannya mengikut setiap daerah dalam sesi pertanyaan lisan di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah di sini, hari ini.

 

Mohd. Hayati menambah, kematian tertinggi dicatatkan pada bulan lalu yang mencecah 776 kematian diikuti 414 kematian pada Julai.

 

“Jumlah kematian untuk bulan ini pula sehingga 5 September lalu adalah 114 kes,” katanya.

 

Menjawab soalan tambahan Zamri mengenai pengurusan jenazah mangsa Covid-19, Mohd. Hayati menafikan pihak hospital mengenakan bayaran berhubung perkara itu.

 

1″Pihak hospital tidak kenakan bayaran. Sebaliknya yang mengenakan bayaran ini adalah pihak agensi pengurusan jenazah.

 

“Ada dalam kalangan pesakit yang meninggal dunia selepas 28 hari berada di hospital dan jenazah mereka ini biasanya dibenarkan dibawa pulang untuk diuruskan keluarga.

 

“Begitu pun, hal berkaitan pembayaran ini akan diberi perhatian oleh kerajaan negeri bagi membantu keluarga mangsa terlibat. Perkara ini melibatkan dana dan ini akan dibawa ke dalam mesyuarat exco nanti,” ujarnya.

 

Dalam pada itu, Mohd. Hayati memaklumkan, bagi kes kanak-kanak yang kematian ibu dan bapa akibat Covid-19 serta hilang punca pendapatan isi rumah, orang ramai boleh menghubungi Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah bagi mengetahui lebih lanjut mengenai jenis bantuan bersesuaian.  

 

“Kerajaan Persekutuan juga akan membantu dari segi khairat kematian berjumlah RM5,000 daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kepada keluarga terlibat yang memenuhi syarat kelayakan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN