101 kapal bersauh haram ditahan sejak Januari - Utusan Malaysia

101 kapal bersauh haram ditahan sejak Januari

NURUL Hizam Zakaria menunjukkan kapal-kapal dagang yang berlabuh secara haram di perairan Malaysia pada sidang akhbar Operasi Jangkar Haram di Ibu Pejabat Maritim Johor. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebanyak 101 buah kapal yang melakukan kesalahan berlabuh secara haram sejak awal tahun ini.

 

Pengarah Maritim Malaysia Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 83 buah kapal ditahan menerusi operasi Jangkar Haram melibatkan kawasan di Tompok Utara.

 

Katanya, kes terbaharu yang dilaporkan membabitkan penahanan dua buah kapal tangki yang sedang melakukan aktiviti pemindahan minyak secara haram di kawasan perairan Johor Timur. 

 

Tambahnya, salah sebuah kapal tangki terbabit baru sahaja selesai kes perbicaraan bagi kesalahan bersauh tanpa kebenaran. 

 

“Kapal tangki berdaftar di Mongolia itu dikendalikan lapan kru warga Indonesia berusia 23 hingga 66 tahun yang ditahan 31 Ogos lalu kerana bersauh tanpa kebenaran dan didenda sebanyak RM50,000.

 

“Pemindahan itu turut melibatkan sebuah kapal tangki dari Panama yang dikendalikan 25 kru daripada Indonesia, Ukraine, Georgia dan Rusia berusia antara 23 hingga 53 tahun,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Negeri Johor hari ini. 

 

Nurul Hizam berkata, dalam operasi Jangkar Haram itu, 36 kes masih dalam siasatan dan proses pertuduhan, manakala 47 kes lagi telah dituduh dengan denda dan kompaun dikenakan kira-kira RM1.3 juta serta sebanyak RM1.7 juta bon jaminan dibayar.

 

Katanya, kawasan Tompok Utara menjadi tumpuan kegiatan kapal terbabit kerana kedudukannya yang strategik di pintu masuk Timur-Barat perairan negeri selain kedudukan geografinya yang mempunyai kedalaman 60 meter sesuai untuk kapal berlabuh. 

 

Jelasnya, daripada kapal yang ditahan itu, kapal berdaftar dari Singapura paling banyak ditahan iaitu sebanyak 30 buah, diikuti Indonesia (12), Malaysia (9), Greece (8) dan Hong Kong. 

 

“Sebelum operasi tersebut dijalankan, lebih 100 buah kapal berlabuh secara haram tanpa mendapat kebenaran Pengarah Laut. Antara alasan mereka berikan tidak tahu sudah berada di perairan negara dan tidak sedar dengan undang-undang di laut di negeri ini.

 

“Ada juga kapal yang enggan memberi kerjasama ketika pemeriksaan hendak dijalankan, maka kita terpaksa membuat ‘force boarding’,” tambahnya. 

 

Kata beliau, keberkesan penguatkuasaan mencatatkan penurunan jumlah kapal berlabuh secara haram dan operasi Jangkar Haram akan diteruskan hingga pematuhan mencapai 100 peratus. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN