KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyasarkan 100 peratus anggotanya menerima dua dos vaksin Covid-19 sebelum mereka menjalankan penugasan ketika musim banjir tidak lama lagi.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, setakat ini, kira-kira 90 peratus daripada 14,500 warga JBPM di seluruh negara telah lengkap menerima dua dos vaksin tersebut.
Menurutnya, baki 10 peratus lagi merupakan mereka yang sudah menerima dos pertama dan sedang menunggu giliran untuk suntikan dos kedua dalam masa terdekat.
“Tidak ada seorang pun warga JBPM sama ada anggota atau pegawai terkecuali kerana menerima suntikan vaksin Covid-19 ini adalah mandatori.
“Pasukan penyelamat amat memerlukan suntikan lengkap dua dos kerana mereka melakukan pelbagai tugasan mencari dan menyelamat selain perlu mematuhi SOP (prosedur operasi standard) semasa bertugas,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang turut dihadiri Pengarah JBPM Kelantan, Zainal Madasin selepas mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat JBPM Kelantan di Tunjong, di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Mohammad Hamdan berkata, setakat ini, seramai 125 pegawai dan anggota JBPM disahkan positif Covid-19 sejak pandemik itu menyerang negara tahun lalu.
Bagaimanapun katanya, warga JBPM terbabit dijangkiti virus itu melalui komuniti atau ahli keluarga di rumah, bukan ketika menjalankan tugasan di lapangan.
“Sukar untuk anggota bomba dijangkiti Covid-19 semasa bertugas kerana mereka sentiasa memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE),” katanya.
Mengulas persiapan berdepan tengkujuh, beliau berkata, tahun ini dijangka lebih mencabar kerana pandemik belum reda dan tumpuan akan diberikan di enam negeri titik panas iaitu Pahang, Terengganu, Sabah, Sarawak, Kelantan serta Johor. – UTUSAN ONLINE