REMBAU: Jika dihitung, sudah hampir 10 kilogram najis ayam dibersihkan dari sebuah rumah seorang warga emas di Kampung Rendah, Pedas dekat sini sejak awal tahun ini.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Asnaf Rembau (Perkaya) Wan Roslan Wan Ali, 52, berkata, najis-najis ayam itu dibersihkan dari rumah Osman Jamal, 72, yang tinggal berseorangan bersama lebih 30 ekor ayamnya.
Menurutnya, disebabkan warga emas itu berkeras tidak mahu berpindah ke tempat lain serta dihantar ke rumah kebajikan, pihaknya itu telah menjadikan warga emas berkenaan sebagai keluarga angkat untuk dijaga.
“Kali terakhir, kami bersihkan rumahnya pada bulan Julai lalu dan untuk tahun ini sahaja, sudah lima kali kami membersihkan rumah ini secara konsep gotong-royong memandangkan terlalu banyak najis ayam di dalam serta di luar rumah.
“Najis ayam ini kami kumpul dan lupuskan sama ada menjadi baja atau dibakar sahaja memandangkan kami tidak mahu warga emas ini tinggal bersama najis ayam,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Wan Roslan berkata, selain sukarelawan pihaknya, banyak pihak lain turut membantu membersihkan rumah warga emas tersebut.
“Kami merancang untuk menangkap separuh ayam berkenaan bagi mengurangkan najis ayam yang berada di dalam dan luar rumah warga emas ini.
“Sebelum ini kami sudah tangkap lima ekor, kami jual dan duitnya diberikan kepada Osman. Kini kami rancang untuk tangkap lebih banyak lagi ayam yang dibela warga emas ini bagi mengelakkan rumahnya dipenuhi najis ayam.
“Walaupun Osman lebih selesa tinggal dengan ayam, sebagai penduduk, kita mahu memastikan persekitaran tempat tinggalnya dapat dibersihkan,” katanya lagi yang memberitahu Osman sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan. -UTUSAN ONLINE










