1.6 juta penjawat awam masih defisit tenaga kerja - Utusan Malaysia

1.6 juta penjawat awam masih defisit tenaga kerja

PA komited menjaga kebajikan penjawat awam dengan menambah baik sistem saraan secara komprehensif . - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Hampir kesemua jabatan kerajaan terutama dalam sektor kritikal seperti sektor sosial dan keselamatan mengalami kekangan dari segi bilangan sumber manusia demi memberikan perkhidmatan dalam ruang selesa kepada rakyat.

Ini berlaku di sebalik beberapa pihak berulang kali mendakwa saiz penjawat awam seolah-olah terlalu besar.

Situasi di lapangan memberi gambaran jumlah 1.6 juta penjawat awam ketika ini bukanlah satu angka yang mencukupi apatah lagi mahu mengurangkan jumlah kakitangan dalam perkhidmatan awam.

Mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman berkata, isu bilangan perjawatan dan kemampuan kewangan negara perlu diimbangkan.

Kata beliau, sebarang kekangan semasa perlu diatasi dengan mengoptimumkan keupayaan jumlah penjawat awam sedia ada.

Menurut beliau, pengambilan penjawat awam tidak boleh dipandukan kepada nis­bah antarabangsa bagi setiap skim dalam perkhidmatan awam kerana norma-norma antarabangsa hanyalah sebagai panduan umum.

“Dalam berdepan dengan isu sumber-sumber yang terhad dan di mana setiap sektor perkhidmatan memerlukan tambahan kakitangan, kita perlu membezakan antara keperluan utama dan kemahuan. Keutamaan mesti diberikan kepada perkhidmatan yang benar-benar mendesak atau kritikal berpandukan kesan dan keperluan jangka panjang.

“Kita belum sampai kepada status di mana kita boleh mengambil nisbah antarabangsa sepenuhnya. Kita perlu ada acuan kita sendiri bersandarkan kepada landskap perkhidmatan dan kemampuan negara,” katanya di sini semalam.

Mohd. Khairul Adib berkata, sekiranya setiap skim perkhidmatan hendak menerima pakai nisbah antarabangsa, negara akan mengalami masalah saiz perkhidmatan awam yang besar serta isu kemampuan semasa negara untuk menampungnya.

Jelas beliau, nisbah antarabangsa yang disyorkan juga merujuk kepada keseluruhan jumlah penyampai perkhidmatan dari kedua-dua sektor awam dan sektor swasta.

Kata beliau, dalam situasi sumber yang terhad dalam perkhidmatan awam, perlu juga dilihat kepada alternatif yang ada, termasuk pentingnya meningkatkan kecekapan tugas dan produktiviti kerja agar output yang dijana mampu mengatasi isu kekangan tenaga manusia itu.

Di samping itu, katanya, prosedur-prosedur sedia ada perlu dilihat semula supaya proses kerja dapat diringkaskan, tanpa menjejaskan integriti proses tersebut dan/ atau akauntabiliti penjawat awam.

“Begitu juga dengan aspek penggunaan digital dalam sektor awam dibangunkan bagi menggariskan hala tuju strategik pelaksanaan pendigitalan sektor awam untuk tempoh lima tahun yang akan menjadi panduan kepada agensi sektor awam,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pandemik Covid-19 biarpun membawa impak dan cabaran besar kepada negara, namun ia menjadi pemangkin kepada kelancaran sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan melalui penggunaan dan capaian per­khidmatan dalam talian.

Kata beliau, walaupun sektor kerajaan beroperasi dalam jumlah tenaga kerja yang terhad, sistem penyampaian masih lagi beroperasi dengan baik.

“Sistem e-kerajaan tidak akan menggantikan tugas mereka, tetapi boleh mengisi kelompongan tenaga manusia di samping menjadikan kerja yang dilakukan ketika ini lebih cekap dilaksanakan,” katanya.

Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin membangkitkan isu negara dijangka menghadapi krisis doktor pakar menjelang 2030.
Jumlah doktor pakar ketika ini adalah kira-kira 13,000 orang sedangkan keperluan terhadap perkhidmatan itu khususnya untuk merawat pesakit warga emas dan penyakit tidak berjangkit ialah 28,000.

Terdahulu, Utusan Malaysia turut melaporkan isu kekura­ngan serius perjawatan jururawat dan menjadi salah satu sebab banyak jururawat berhijrah ke luar negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN