Warga asing guna identiti rakyat tempatan daftar vaksin - Utusan Malaysia

Warga asing guna identiti rakyat tempatan daftar vaksin

E. SUNDRA RAJAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Empat individu termasuk tiga warga asing ditahan polis selepas dipercayai telah menggunakan maklumat kad pengenalan orang lain pada pendaftaran aplikasi MySejahtera bagi tujuan mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Kesemua suspek berusia 30 hingga 40 tahun itu berjaya ditahan pada 18 Ogos lalu selepas salah seorang daripada mereka dikesan cuba mendapatkan suntikan dos kedua di sebuah klinik di Banda Hilir pada pukul 2.30 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintenden E. Sundra Rajan berkata, suspek pertama yang merupakan seorang wanita warga asing itu ditahan selepas polis mendapati aplikasi MySejahtera digunakan telah didaftarkan menggunakan maklumat pengenalan diri individu lain.

Katanya, semakan lanjut dilakukan, suspek telahpun menerima suntikan dos pertama dan diberikan kad vaksinasi di atas namanya.

“Pemeriksaan pas Jabatan Imigresen yang dibawa suspek juga dipercayai palsu, manakala pasport juga telah tamat tempoh.

“Hasil soal siasat, kita telah melakukan serbuan kedua dan menahan tiga lelaki termasuk seorang warga tempatan di sebuah rumah di Banda Hilir sekitar pukul 7.30 malam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, kesemua suspek ditahan bagi mengesan sekiranya kes penipuan itu membabitkan sindiket, susulan pihak polis menerima beberapa laporan berhubung identiti kad pengenalan telah dicuri untuk tujuan vaksinasi.

“Setakat ini, pihak kami telah menerima dua laporan polis mendakwa kad pengenalan diri pengadu telah digunakan oleh individu lain dipercayai warga asing dalam pendaftaran MySejahtera bagi mendapatkan suntikan vaksin.

“Kesemua suspek kini direman sehingga 27 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu menggunakan identiti lain,” jelasnya.

Tambahnya, suspek warga asing terbabit juga disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15 (1) (c) akta sama kerana tinggal lebih masa dan pas imigresen telah tamat tempot. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN