PETALING JAYA: Usul meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Parlimen boleh dibincang serta diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, pembukaan usul tersebut membolehkan langkah seterusnya seperti menghurai mekanisme, implikasi, nisbah perbelanjaan dan pindaan undang-undang dapat dijalankan.
Beliau menjangkakan usul berkenaan boleh diterima, diluluskan dan rangka kerja serta struktur pentadbirannya terletak di bawah jawatankuasa Parlimen selain penambahbaikan SPRM membuktikan negara ini serius dalam menangani rasuah dan salah guna kuasa.
“Perkara ini kita boleh perhalusi tetapi tertakluk kepada hal-hal yang saya sebutkan. Oleh kerana SPRM dinaungi oleh Yang di-Pertuan Agong, ia harus dipetisyenkan bersekali dengan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan seterusnya dibawa ke Parlimen.
“Selagi usul ini tidak dikemukakan, selagi itulah Parlimen tidak boleh melaksanakan tugasnya. Bagaimanapun, ia harus dijelaskan lagi menjelang dan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan seeloknya idea ini diuar-uarkan dahulu.
“Jika tidak, maka SPRM akan sentiasa berada di bawah ‘siulan’ pihak tertentu. Persoalannya, adakah kerajaan hari ini mahu mengemukakan usul SPRM ini?,” soalnya ketika dihubungi di sini semalam.
Kelmarin akhbar ini melaporkan, pengamal undang-undang mencadangkan SPRM diletakkan di bawah Parlimen bagi mengelakkan sebarang campur tangan dan memastikan ia tidak lagi ‘terikat’ arahan pihak tertentu dalam pertimbangan siasatan pelanggaran undang-undang.
SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga digesa untuk mengamalkan sikap berkecuali dalam menyiasat sebarang salah laku termasuk dakwaan sogokan dan tawaran lompat parti wakil rakyat menjelang sidang Parlimen bulan depan.
Baru-baru ini, tiga ahli Parlimen dari DAP iaitu Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh; Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kula Segaran sudah dipanggil SPRM susulan dakwaan menerima tawaran rasuah wang dan jawatan untuk menyokong PN manakala Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr. Kelvin Yii Lee Wuen akan dipanggil atas dakwaan sama. – UTUSAN ONLINE










