KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mengutuk tindakan kerajaan menangguhkan persidangan Parlimen yang sepatutnya disambung esok.
Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, beliau melihat penangguhan persidangan itu dibuat kerana alasan yang tidak munasabah.
Ahli Parlimen Tuaran ini berkata, apa juga alasan untuk mengelakkan persidangan Dewan Rakyat ini, Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan boleh digunakan sekiranya lebih banyak ahli parlimen daripada UMNO memaklumkan Speaker Dewan Rakyat untuk berpindah ke kerusi bebas.
Beliau berkata, ahli-ahli Parlimen UMNO harus mencontohi Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah yang menggesa Yang Dipertua Speaker Dewan Rakyat supaya tempat duduknya dipindahkan dari kerusi penyokong kerajaan ke kerusi bebas. Ini sebagai langkah menyatakan tidak lagi menyokong kerajaan.
“Sekiranya lebih 10 ahli Parlimen UMNO bertindak sebegitu bermakna Perdana Menteri sudah kehilangan sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen dan kerajaan pasti akan tumbang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Madius turut mencadangkan agar kerajaan memeterai Perjanjian Keyakinan dan Bekalan (CSA) dengan pihak pembangkang, menubuhkan 13 lagi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC), menjamin kebebasan dan ketelusan awam serta menubuhkan Jawatankuasa Perundingan Antara Kerajaan Kedua (IGC2.0).
Katanya, CSA penting bagi memastikan wujud pembahagian dalam tadbir urus negara manakala, 13 PSSC pula membolehkan setiap portfolio kementerian dipantau agar ada semak dan imbang dalam pembuatan dasar kerajaan.
Jelas beliau, penubuhan IGC2.0 harus melibatkan seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak untuk melaksanakan sepenuhnya Perjanjian Malaysia 1963.
“Langkah ini akan membolehkan pengasingan kuasa diturunkan daripada Kerajaan Pusat kepada kerajaan-kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.
“Empat perkara ini sangat penting dalam usaha kita untuk mengatasi jalan buntu serta ketidakstabilan politik yang dihadapi oleh negara ketika ini.
“Siapa juga yang mengambil alih tampuk pemerintahan selepas ini diharap dapat mempertimbangkan cadangan-cadangan ini,” katanya.
Tambah beliau, pucuk pimpinan akan akan datang harus berusaha membina kestabilan dan mendapatkan kembali keyakinan rakyat dalam menangani pandemik Covid-19, krisis ekonomi dan krisis politik yang sedang berlaku pada masa ini.
Semalam, ahli-ahli Parlimen menerima surat daripada Setiausaha Dewan Rakyat yang memaklumkan penangguhan persidangan Dewan Rakyat esok.
Penangguhan itu dibuat selaras cadangan Ketua Pengarah Kesihatan serta penilaian risiko semasa yang mendapati Parlimen merupakan lokaliti berisiko bagi penularan jangkitan Covid-19.- UTUSAN ONLINE










