UMNO, PH bergabung bentuk kerajaan dengan majoriti mudah? - Utusan Malaysia

UMNO, PH bergabung bentuk kerajaan dengan majoriti mudah?

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan sebilangan ahli Parlimen UMNO menarik diri daripada Perikatan Nasional (PN) baru-baru ini dilihat berkemungkinan mendorong penyertaan mereka ke dalam Pakatan Harapan (PH), bagi membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, meskipun setakat ini belum ada usaha ke arah itu, gabungan sebegitu tidak mustahil berlaku.

Katanya, kemungkinan itu dibuat jika kedua-dua pihak mengambil kira soal dasar parti, dan bukannya sentimen kebencian semata-mata.

Malah tegas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu, kedua-dua parti hakikatnya berkongsi dasar yang sama iaitu memelihara kepentingan Melayu dan Islam, sekali gus berpendapat bahawa pendirian No Anwar, No DAP yang dipegang UMNO hanyalah sentimen semata-mata dan bukan dasar parti.

“Saya tak kata UMNO dengan PH itu boleh bercantum, tidak. Usaha ke arah itu tak berlaku apa-apa lagi. Tapi dalam konteks Mingguan Malaysia membuat wawancara ini, saya berkongsi pandangan bahawa kalau titik temu kepada satu parti itu bersifat dasar, ia satu yang mungkin boleh berlaku.

“Saya cuma nak sebut begini, ‘No Anwar, No DAP’ itu saya tak percaya ia dasar parti, saya cuma kata itu sentimen dalam parti. Ada beza dasar dengan sentimen, dasar ia kekal, sentimen ini pula Boleh hilang, tak kekal.

“Sekarang, apa dasar yang mengikat gabungan PH? Mengiktiraf Islam agama Persekutuan. Kedua, memperakui peranan institusi raja-raja Melayu. Perkara 153, kedudukan istimewa Melayu dan hak bumiputera lain, dan keempat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Itu dasar. Kemudian apa lagi? Amalan pentadbiran dan tata kelola kerajaan yang baik.

“Tengok pula pada UMNO, Fasal 3 Perkara 3 dalam perlembagaan mereka, tujuan UMNO ditubuhkan adalah untuk menegak, mengembang dan mempertahankan Islam. Kalau dasar kita tadi, Islam sebagai agama, UMNO ada dalam Fasal 3 Perkara 3, bukankah itu titik temunya?” katanya kepada Mingguan Malaysia, Rabu lalu.

Beliau memberi contoh penggabungan UMNO-Pas yang dahulu dilihat mustahil, namun kini boleh berlaku atas nama Muafakat Nasional (MN).

“Cuba kita lihat Pas dengan UMNO, berdekad-dekad pertarungan ini membelah masyarakat daripada atas sampai bawah. Tadika, ada Kemas dan Pasti, khemah kenduri, ada khemah Pas dan khemah UMNO, masjid ada Pas dan UMNO. Baik, itu dasar atau sentimen?

“Ternyata, selama ini kita ingat dasar, rupanya tidak. Sentimen saja. Kemudian apabila diungkap Melayu Islam itu mesti bersatu, maka didatangkan segala ayat (al-Quran). Maka sekarang ternyata mereka boleh duduk, namanya Muafakat Nasional (MN),” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau menegaskan, PKR tidak terkesan dengan audio yang tular baru-baru ini, didakwa suara mirip Rafizi Ramli iaitu orang kuat yang mengkritik Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

Katanya, tindakan itu tidak memberi kesan kepada parti, malah sekadar ‘asam garam dalam politik’ semata-mata.

“Untuk PKR yang sudah mencecah umur 20 tahun ini, hal itu adalah hal yang kami anggap sebagai rencam, asam garam dalam politik. Dalam kata lain, itu tidak memberi sebarang impak besar kepada kewujudan PKR,” katanya.

Baru-baru ini, tular dalam media sosial rakaman audio mirip suara Rafizi Ramli yang mendakwa, DAP telah merosakkan institusi politik dan kepimpinan Melayu.

Menerusi rakaman berdurasi hampir tiga minit itu, Rafizi mendakwa DAP hanya berminat untuk ‘menunggang Melayu’, malah tiada kesetiaan dalam persahabatan politiknya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN