ISKANDAR PUTERI: Cubaan membawa keluar udang harimau sejuk beku sebanyak 1,320 kilogram (kg) tanpa permit eksport yang sah ke Singapura berjaya dipatahkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), malam tadi.
Kegiatan itu berjaya dikesan pegawai penguatkuasa Maqis setelah pemeriksaan dibuat ke atas lori yang membawa muatan makanan laut itu pada pukul 11.30 malam.
Menurut kenyataan Maqis, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat cubaan mengelirukan pegawai Maqis dengan memberikan maklumat tidak tepat melibatkan udang harimau dibawa sebuah lori tersebut.
“Pemeriksaan terhadap udang harimau sejuk beku itu yang diikrarkan oleh ejen penghantaran sepatutnya membawa hanya 3,880 kg udang tersebut di laluan lori eksport.
“Namun, Maqis mendapati sejumlah 5,200 kg makanan itu berada dalam lori itumelebihi kuantiti yang diikrarkan. Kesemua 1,320 kg udang yang tidak diikrarkan dianggarkan bernilai RM6,600 ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya di sini, hari ini.
Maqis turut menahan seorang pemandu lori berkenaan yang berusia 39 tahun untuk merakamkan keterangannya sebelum dilepaskan.
Katanya, perbuatan mengeksport sebarang jenis keluaran pertanian dengan memberikan maklumat palsu, tidak tepat atau mengelirukan semasa pemeriksaan adalah suatu kesalahan.
Kesalahan itu disiasat di bawah Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.
Jika disabit kesalahan, katanya, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali. -UTUSAN ONLINE