Tumpu pesakit kritikal elak sistem kesihatan terjejas - Utusan Malaysia

Tumpu pesakit kritikal elak sistem kesihatan terjejas

DR KULJIT SINGH dan DR. MARZUKI ISAHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penekanan terhadap bilangan pesakit yang dijangkiti Covid-19 sehingga menyebabkan kematian menggambarkan sama ada wabak itu dapat dikawal atau sebaliknya.

Justeru, kerajaan perlu menumpukan strategi dalam memberikan rawatan optimum kepada pesakit kategori tiga hingga lima supaya tidak menjejaskan sistem perkhidmatan kesihatan di hospital.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Akademi Perubatan Pekerjaan dan Persekitaran Malaysia, Prof. Madya Dr. Marzuki Isahak berkata, ini adalah lebih baik berbanding memikirkan berapa kes positif baharu Covid-19 yang direkodkan.

Malah katanya, kebanyakan negara luar sudah tidak melaporkan kes baharu Covid-19 sebaliknya menilai jangkitan itu jika berada di peringkat rendah dan tidak menjejaskan fungsi seseorang sehingga memerlukan rawatan rapi.

“Kita tidak akan dapat menurunkan kes kepada sifar sebab banyak kes yang tidak dapat dikesan. Cuma, (yang penting) asalkan jangkitan itu berada pada tahap sederhana dan tidak perlu hospitalisasi maka tidak menjadi kebimbangan.

“Ramai yang terkena kes URTI (jangkitan mata dan saluran pernafasan atas) mendapat rawatan di klinik dan ini penularan jangkitan biasa serta tidak perlukan hospitalisasi atau menyebabkan kematian.

“Dalam bidang kepakaran kesihatan awam sendiri, langkah menjejak kontak rapat, ujian saringan dan vaksinasi itulah yang kita ada. Sebenarnya, semua inisiatif yang kerajaan lakukan sudah baik kerana negara lain pun menggunakan pendekatan sama,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini memaklumkan, kerajaan akan mengkaji semula strategi sedia ada yang digunakan untuk memerangi Covid-19 bagi mengetahui sama ada masih berkesan dalam menangani peningkatan yang mencecah lebih 20,000 kes sehari.

Pelbagai inisiatif dilakukan kerajaan sejak awal penularan wabak sejak tahun lalu bermula dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan secara berfasa serta proklamasi darurat sejak lapan bulan lalu yang kononnya mengekang pandemik Covid-19.

Ketika itu, kes jangkitan baharu Covid-19 merekodkan 2,232 kes dan ia terus meningkat secara mendadak melebihi 20,000 kes selepas darurat berakhir 1 Ogos lalu sekali gus menjadi kayu ukur kegagalan kerajaan mengurus wabak dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Senada dengan beliau, Pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), Datuk Dr. Kuljit Singh menyarankan kerajaan menyediakan bilangan katil pesakit yang mencukupi bagi menampung jumlah pesakit Covid-19 kategori tiga hingga lima.

Selain itu, kata Kuljit, langkah mengenal pasti golongan mana yang cenderung untuk termasuk dalam kategori berkenaan sama ada golongan muda, pekerja atau warga emas adalah penting supaya kerajaan boleh memfokuskan strategi ke arah itu.

“Katakan dalam kes harian sebanyak 20,000 kes positif baharu, jika ramai yang kategori satu dan dua tidak mengapa kerana tidak memerlukan rawatan serius. Cuma, yang menjadi kebimbangan apabila hospital tidak dapat menampung jumlah pesakit kerana fasiliti kesihatan kurang,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN