KLANG : Seramai enam peniaga tempatan dan seorang peniaga warga asing dikompaun Majlis Perbandaran Klang (MPK) di Bandar Sultan Suleiman, di sini selepas dikesan berniaga tanpa lesen.
Yang Dipertua MPK, Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, pemeriksaan tersebut dijalankan pada Rabu lalu selepas melakukan intipan terhadap kesemua peniaga itu sebelum ini.
“Hasil pemeriksaan, seramai enam penjaja warga tempatan dan seorang penjaja warga asing telah menjalankan perniagaan tanpa lesen daripada MPK.
“Oleh itu, kita telah mengeluarkan kompaun berdasarkan Undang-Undang Kecil Penjaja MPK 2007.
“Kita turut menyita semua peralatan perniagaan mereka di bawah peruntukan undang-undang yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ahmad Fadzli memaklumkan bahawa pihaknya tidak pernah memberikan lesen perniagaan terhadap warga asing untuk menjalankan apa-apa perniagaan di seluruh daerah Klang.
Beliau menegaskan, tindakan tegas akan diambil kepada peniaga tempatan sekiranya didapati memberikan lesen perniagaan mereka kepada warga asing untuk menjalankan perniagaan.
“Berkaitan isu lambakan warga asing, MPK tidak mempunyai kuasa untuk menangkap atau menahan mereka kerana ia di bawah bidang kuasa di bawah jabatan yang berkenaan.
“Apa pun, kita akan perhebatkan operasi seperti ini dari masa ke semasa dan memandang serius isu berkaitan peniaga asing,” tegasnya. -UTUSAN ONLINE