'Tidak sanggup bebankan pelajar' - Utusan Malaysia

‘Tidak sanggup bebankan pelajar’

SEBAHAGIAN pelajar Maahad Tahfiz Abu Bakar di Tanah Merah, Kelantan bergambar bersama tenaga pengajar di hadapan sekolah itu sebelum Covid-19 melanda negara tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: “Kami akan teruskan pengajian seperti biasa demi syiar Islam yang wajib diperjuangkan.”

Itu tekad pengusaha sekolah pondok dan pusat tahfiz persendirian di negeri ini, biarpun rata-ratanya kian tenat dihimpit masalah kewangan akibat penularan Covid-19 yang berlarutan lebih setahun.

Mudir Maahad Tahfiz Daril Naim (MTDN), Wan Alauddin Wan Ahmad memberitahu Mingguan Malaysia, institusi yang terletak di Melor dekat sini itu beroperasi menggunakan hasil kutipan yuran serta ihsan dermawan kira-kira RM25,000 sebulan.

Kos itu jelas beliau, merangkumi gaji 33 tenaga pengajar dan kakitangan pengurusan, bil air dan elektrik premis pentadbiran dan tempat tinggal serta urusan makan minum seramai 199 pelajar di situ.

“Kami faham ibu bapa yang menghantar anak-anak ke MTDN turut terkesan dengan Covid-19. Ada yang tidak mampu bayar yuran pengajian seperti biasa atau beri sumbangan lain bagi melancarkan operasi sekolah.

“Apa boleh buat, sekarang ramai ibu bapa hilang sumber pendapatan termasuk diberhentikan kerja. Kami tidak akan membebankan mereka, sebaliknya sanggup menyerap kos bagi memastikan institusi ini terus subur di bumi Kelantan,” katanya di sini semalam.

Turut berusaha menyerap kos operasi tanpa membebankan ibu bapa atau mengurangkan jumlah pelajar ialah Maahad Tahfiz Abu Bakar di Tanah Merah yang terpaksa menangguhkan rancangan berpindah ke bangunan sendiri di Kubang Gendang, Pasir Mas.

Ketua Unit Sumber Luar sekolah itu, Che Abdul Razak Che Mahmood berkata, sehingga kini pihak pengurusan terpaksa menyewa premis bagi melicinkan pengurusan dan aktiviti pengajian yang melibatkan 100 pelajar lelaki dan perempuan di Tanah Merah.

Menurutnya, walaupun yuran pengajian sebanyak RM300 dikurangkan kepada RM200 selepas mengambil kira situasi semasa, hanya 40 peratus pelajar yang sudah melunaskan yuran pengajian.

“Kami menggunakan tabung simpanan bagi membayar gaji kakitangan. Setakat ini, tenaga pengajar masih menerima gaji penuh manakala kakitangan lain, kami mampu bayar RM500 sebulan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN