GEORGETOWN: Kerajaan negeri tidak berhasrat membuka Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) untuk penjaja dan peniaga Pulau Pinang secara ‘walk-in’ memandangkan dos vaksin Covid-19 terhad kepada mereka yang telah berdaftar dengan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, program itu yang bakal dilaksanakan pada 30 Ogos hingga 2 September ini menyasarkan 12,000 peniaga dan penjaja berdaftar divaksin dan setakat ini seramai 8,375 telah mendaftarkan dengan MBPP dan MBSP.
“Saya memohon kerjasama penjaja dan peniaga yang masih belum divaksin untuk berdaftar dengan menghubungi MBPP dan MBSP segera.
“Hanya penjaja yang telah dikenal pasti akan menerima janji temu untuk menerima vaksin melalui sistem MySejahtera,”katanya di sini hari ini.
Menurut Jagdeep, beliau sangat berharap sasaran untuk imuniti berkelompok akan tercapai dan rakyat dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa menerusi program MOVAK tersebut.
Dalam pada itu, Jagdeep berkata, setakat semalam, jumlah vaksinasi dos pertama di Pulau Pinang ialah seramai 1.1 juta individu iaitu hampir 81 peratus daripada populasi penduduk negeri ini.
“Lebih 700,000 individu iaitu sekitar 52 peratus telah menerima dos kedua dan ini menunjukkan kita berada di landasan yang tepat untuk mencapai imuniti kelompok.
“Kita memohon Kerajaan Pusat mempercepatkan penyaluran vaksin Covid-19 ke negeri ini agar lebih ramai individu dapat divaksin seperti sasaran kerajaan negeri,” katanya.
Tambahnya, kadar kes harian di Pulau Pinang juga meningkat sehingga mencecah 2,000 kes sehari dan pihaknya telah mengarahkan pemantauan dari segi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dijalankan dengan lebih ketat. -UTUSAN ONLINE










