ALOR SETAR: Jabatan Kesihatan Negeri Kedah menafikan terdapat kes positif Covid-19 dalam kalangan anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang melakukan kerja-kerja amal membantu mangsa tragedi kepala air di Yan sejak Rabu lalu.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Othman Warijo berkata, informasi tersebut yang tersebar di media sosial adalah palsu dan tidak perlu dipercayai.
Bagaimanapun, katanya, semua pihak tidak boleh memandang mudah terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika melakukan kerja-kerja amal di kawasan itu.
Menurutnya, pada masa ini, daerah Yan masih lagi diklasifikasikan sebagai kawasan merah.
“Sehingga kini,. kita juga tidak membuat ujian saringan terhadap sukarelawan dan maklumat itu palsu.
“Namun, saya tetap menasihatkan semua pihak termasuk sukarelawan untuk mematuhi SOP bagi mengelakkan penularan Covid-19,” katanya di sini hari ini.
Sejak semalam, tular dalam media sosial hantaran seorang individu yang meminta agar pihak-pihak terlibat supaya menangguhkan dahulu hasrat untuk membantu mangsa banjir di Yan kerana terdapat beberapa kes positif dalam kalangan NGO.
Maklumat itu didakwa diperoleh dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Yan serta sumber yang dipercayai.
Mesej yang tular itu juga mendakwa Kementerian Kesihatan (KKM) telah menjalankan ujian saringan terhadap kira-kira 500 individu di Yan, semalam.
Mengulas lanjut, Othman berkata, beliau berharap mesej yang tidak benar itu tidak lagi disebarkan dalam kalangan masyarakat.
“Kita bimbang informasi palsu sebegini menimbulkan ketakutan terutamanya dalam kalangan mangsa yang baru saja ditimpa dugaan sedemikian.
“Oleh itu, sama-samalah kita mengelakkan perkara sebegini daripada berlaku dan sebarang informasi yang hendak disebarkan, perlu disemak terlebih dulu,” katanya. -UTUSAN ONLINE