BUKIT MERTAJAM: Semua peniaga pasar malam di Seberang Perai disyaratkan perlu menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin sebelum dibenarkan berniaga semula bermula 15 September ini.
Sehubungan itu Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Rozali Mohamud berkata, mana-mana peniaga atau penjaja yang masih belum mendapatkan tarikh janji temu digesa segera mendaftar melalui aplikasi MySejahtera.
Ujarnya, mereka juga perlu menjawab soal selidik MBSP berkaitan status vaksinasi mereka di pautan berikut https://qrgo.page.link/vVy6z.
Jelasnya, MBSP akan membantu mana-mana peniaga yang berkaitan untuk mendapatkan janji temu suntikan vaksin jika perlu.
“Panggilan untuk sesi janji temu vaksin akan dibuat melalui aplikasi MySejahtera atau dihubungi melalui telefon oleh pihak urus setia berkaitan dan mereka diminta untuk sentiasa menyemak rekod MySejahtera masing-masing.
“Usaha ini juga selaras dengan hasrat kerajaan negeri dan MBSP untuk mencapai imuniti kelompok menjelang Oktober ini sekali gus memberi keyakinan kepada orang ramai yang mengunjungi pasar malam serta mewujudkan persekitaran yang lebih sihat dan selamat,” katanya di sini hari ini.
MBSP dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan hanya pengunjung yang telah menerima dua dos vaksin serta berisiko rendah dibenarkan mengunjungi pasar malam selepas ini.
Terdahulu katanya, hampir 6,000 peniaga dan penjaja yang berdaftar dengan MBSP akan diberi vaksin Covid-19 secara berperingkat di bawah Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (Movak) selama empat hari berturut-turut mulai Isnin ini.
Katanya, lokasi Movak bagi kawasan Seberang Perai ialah di Dewan Dato’ Haji Ahmad Badawi bagi daerah Seberang Perai Utara, Kompleks Sukan Jalan Betek(Seberang Perai Tengah) dan Stadium Batu Kawan bagi daerah Seberang Perai Selatan.-UTUSAN ONLINE










