Tempoh 100 hari bukan masa bulan madu - Utusan Malaysia

Tempoh 100 hari bukan masa bulan madu

ROMZI ATIONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Tempoh 100 hari yang diberikan kepada barisan Kabinet baharu bukan masa untuk berbulan madu kerana hampir semua menteri dan timbalan menteri adalah orang yang sama.

Maka, tiada alasan untuk mereka belum mempunyai sebarang perancangan bagi mencapai indeks pencapaian utama (KPI) bagi tempoh 100 hari itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penganalisis Politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Romzi Ationg berkata, menteri dan timbalan menteri ini diberikan peluang kedua untuk membuktikan bahawa pelantikan mereka tidak akan disia-siakan.

“Kita tidak lagi boleh berlengah dalam menangani pandemik Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara yang begitu terkesan akibat pandemik ini.

“Biarpun ada orang yang mempertikaikan pelantikan orang yang sama tapi bagi saya, Perdana Menteri mempunyai pertimbangan tersendiri semasa melantik mereka demi kestabilan politik beliau.

“Namun, kita berharap menteri yang dilantik ini tidak lagi bulan madu dan tidak bersikap sambil lewa. Mereka harus fokus kepada mencapai matlamat yang ada kerana ketika ini rakyat sudah muak dengan politik yang retorik,” katanya.

Timbalan Dekan (Penyelidikan & Khidmat Komuniti) UMS ini berkata, ahli Kabinet baharu ini perlu pendekatan dan program yang spesifik yang boleh meliputi kebolehcapaian dan perlu mengelak berlaku ketirisan.

Ketika ini, keadaan sangat kritikal dan bukan lagi masa untuk membuat perancangan.

“Mungkin sebab itu Perdana Menteri melantik orang lama kerana mereka terlibat dalam perancangan dasar semasa Kabinet sebelum ini. Ia mungkin salah satu sebab mereka ini dilantik semula,” katanya.

Bagaimanapun katanya, fokus masa pada ini adalah menangani pandemik Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara. Maka, kurangkan masa berpolitik dan fokus kepada usaha menterjemahkan ‘Keluarga Malaysia’ yang menjadi aspirasi Perdana Menteri.

Dalam sebuah keluarga, mereka harus bersedia untuk menerima teguran dan kritikan kerana itu yang akan membantu mereka menambah baik mutu perkhidmatan kepada rakyat.

“Apabila kritikan diberikan, menteri mahupun timbalan menteri perlu menerima dengan hati yang terbuka. Memang ini Kabinet  kitar semula tapi, buktikan bahawa peluang kedua ini mereka mampu melakukan yang lebih baik. Kritikan dan tohmahan sudah menjadi rencah kehidupan seorang ahli politik,” katanya.

Hari ini, 31 menteri dan 38 timbalan menteri mengangkat sumpah di Istana Negara dan sebelum ini, Perdana Menteri memberi tempoh 100 hari kepada setiap kementerian untuk membuktikan pencapaian awal mereka. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN