KUALA LUMPUR: Benarkah wujud ketidakseragaman prosedur operasi standard (SOP) Kursus Pra Perkahwinan Islam (KPPI) antara Jabatan Agama Islam negeri-negeri sehingga ramai pasangan sukar mendapatkan sijil sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0?
Ketika ada negeri sudah melaksanakan kursus berkenaan secara dalam talian seperti di Selangor dan Kelantan, ada pula negeri lain didakwa enggan mengambil pendekatan sama.
Ini dalam keadaan kursus kahwin yang menuntut bakal pengantin menghadiri ceramah secara fizikal di jabatan agama bukan dalam senarai aktiviti dibenarkan sepanjang PKP 3.0 yang tarikh tamatnya belum pasti.
Ada juga pasangan dari negeri berlainan mahu mendapatkan sijil tersebut namun disebabkan SOP yang berbeza-beza mengakibatkan mereka sukar beralih ke fasa seterusnya apabila melibatkan dokumentasi perkahwinan jika syarat PKP mula dilonggarkan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bakal pengantin dari Perak, Nur Amirah Abd. Rani, 25, berkata, dia dan pasangannya dari Terengganu mendakwa kedua-dua jabatan agama tidak mengiktiraf kursus perkahwinan secara dalam talian.
Katanya, pejabat agama negeri Perak hanya memberi kelonggaran kursus kahwin melalui saluran itu namun pasangan mesti bernikah semasa sekatan pergerakan penuh sahaja.
Pejabat agama negeri Terengganu pula membenarkan ‘nikah dahulu, kursus kahwin kemudian’ namun sijil nikah terpaksa ditahan sehinggalah kursus itu selesai.
“Kenapa perkara ini tidak diseragamkan di semua negeri supaya urusan menjadi lebih mudah? Saya yakin, orang lain juga berdepan situasi sama kerana masih tidak tentu bila kursus kahwin secara fizikal boleh dijalankan.
“Jika saya bernikah dahulu baru menjalani kursus kahwin, dikhuatiri ini akan menjejaskan proses pendaftaran silang borang pernikahan di pejabat agama antara negeri pasangan kerana salah satu dokumen diperlukan ada kursus kahwin.
“Saya sendiri berhubung dan meminta jalan penyelesaian dengan kedua-dua jabatan agama berkenaan. Saya berpendapat prosedur ini tidak masuk akal kerana peserta kursus tetap diberikan ceramah dari tenaga pengajar sama seperti yang dijalankan secara fizikal,” katanya di sini semalam dan merancang bernikah pada Mac tahun hadapan.
Kursus perkahwinan wajib kepada orang Islam bertujuan memberi pendedahan dan ilmu pengetahuan tentang alam perkahwinan selain mengurangkan masalah-masalah mendatang dalam rumah tangga.
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) memberi kelonggaran kepada bakal pengantin di wilayah itu mengikuti kursus secara dalam talian bermula 1 Julai tahun lalu ketika negara berada di fasa PKP Pemulihan (PKPP). Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pula melaksanakan kursus itu sejak 13 Jun tahun lalu.
Dalam satu surat bertarikh 22 April lalu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) menganjurkan kursus secara dalam talian namun hanya anjuran Pejabat Agama Jajahan sahaja selain tidak mengiktiraf dan menerima pakai sijil yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam negeri lain bermula 1 Mei lalu bagi permohonan berkahwin untuk pemohon yang bermastautin di negeri itu.
Ketika ini masih belum ada rekod terkini berapa jumlah sebenar peserta kursus pra perkahwinan kerana Utusan Malaysia masih menunggu jawapan dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Sementara itu, Siti Sarah Mohd. Lizan, 25, juga dari Terengganu berkata, dia tidak dapat meneruskan kursus pernikahannya kerana Terengganu bertegas melaksanakannya secara fizikal di pejabat agama negeri sedangkan pasangannya sudah menyelesaikan kursus tersebut secara dalam talian di Selangor.
Menurutnya, pada awalnya dia sudah mendapat tarikh rasmi kursus pada 31 Januari lalu namun ditangguh disebabkan PKP Diperketatkan (PKPD) dan mendapat penetapan semula tarikh pada bulan Mac sekali gus menyebabkan perkahwinan dirancang pada bulan Mac terpaksa dianjak.
Namun, kekeliruan bermula apabila Siti Sarah mula berkursus secara fizikal pada 21 April lalu dan seorang pegawai di pejabat agama menerangkan kepadanya terdapat kelonggaran tertentu untuk kursus perkahwinan.
“Pegawai tiba-tiba kata waktu sekatan pergerakan ini sebenarnya ada kelonggaran berkenaan kursus kahwin yang mana, sesiapa mahu memohon berkahwin boleh hantar borang pernikahan dahulu dan pejabat agama akan susun nama untuk hadir kursus kahwin dalam masa terdekat tidak kira sama ada sudah berkahwin atau tidak.
“Saya menyesal juga sebab tak hantar borang permohonan pernikahan semasa Januari lalu kerana kursus boleh dilakukan selepas kahwin. Kalaulah ada kejelasan dalam hal ini, sebenarnya saya tidak perlu menunggu lebih lama untuk berkahwin,” katanya. – UTUSAN ONLINE










