PETALING JAYA: Keputusan penangguhan Sidang Khas Dewan Rakyat bukan sahaja menyebabkan status pembatalan Ordinan Darurat tergantung, malah boleh mencetuskan krisis perundangan.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md. Yusof berkata, ini kerana Ordinan Darurat ketika ini dibatalkan tanpa melalui perbahasan dan kelulusan Parlimen selain belum mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong.
“Adalah tidak munasabah menangguhkan sidang Dewan Rakyat atas faktor kes jangkitan Covid-19 atau terdapat ‘niat’ lain. Penangguhan hanya akan memberi tanggapan negatif rakyat terhadap Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang berdepan defisit kepercayaan.
“Menteri hanya memerlukan sehari membentang dan membahaskan dan selesai di situ. Mana mungkin ordinan terbatal tanpa dibentang dan dibahaskan terlebih dahulu,” katanya ketika dihubungi semalam.
Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin dalam satu kenyataan berkata, Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat pada Isnin ini ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan dan pemakluman itu dibuat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11 (3) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Penangguhan itu adalah selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan serta penilaian risiko semasa oleh Kementerian Kesihatan susulan perkembangan terbaharu penularan jangkitan Covid-19 dan Parlimen merupakan lokaliti berisiko untuk berlakunya penularan jangkitan wabak.
Pakar perundangan, Datuk Salleh Buang menyifatkan keputusan itu sebagai penafian hak kepada ahli-ahli Parlimen dan sekali gus mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong katanya.
Ujarnya, Ordinan Darurat tidak dapat dibentang dan dibahaskan apabila Parlimen yang sepatutnya membincangkan perkara itu pada Isnin ini ditangguhkan.
“Ini jelas menunjukkan badan eksekutif tidak peduli dengan titah istana dan gunakan alasan risiko Covid-19 bagi menangguhkan sidang,” katanya.
Dalam pada itu, peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, walaupun Ordinan Darurat didakwa sudah dibatalkan, namun ia masih perlu dibahas secara sah kerana peraturan itu masih berkuat kuasa selama enam bulan selepas tarikh tamat darurat.
Perkara 150 (7) Perlembagaan Persekutuan menjelaskan, apabila habis tempoh enam bulan yang bermula dengan tarikh sesuatu proklamasi darurat terhenti berkuat kuasa, apa-apa ordinan yang dimasyhurkan hendaklah terhenti berkuat kuasa.
“Contohnya, bila ada Ordinan Darurat, kompaun bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 ditambah menjadi RM10,000 untuk individu dan RM50,000 bagi syarikat.
“Apa status kompaun itu sekarang?,” katanya.
Enam Ordinan Darurat yang diwartakan tahun ini iaitu Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021; Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (pindaan) 2021; Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja)(pindaan) 2021; Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021 [Berhubung berita palsu]; Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (Pindaan) 2021 [Berhubung kuasa untuk menggunakan Kumpulan Wang Disatukan tanpa melalui legislatif] dan Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (pindaan) 2021. – UTUSAN










