PUTRAJAYA: Meskipun belum mengangkat sumpah jawatan dan memulakan tugas secara rasmi, mereka berdua sudah ‘sibuk’ bincang pelbagai isu melibatkan Wilayah Persekutuan.
Demikian komitmen ditampilkan Menteri Wilayah Persekutuan baharu, Datuk Seri Shahidan Kassim dan timbalannya, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang telah mula ‘kerja’ sejak semalam.
Menerusi hantaran dalam akaun sosial Jalaluddin, Ahli Parlimen Jelebu itu turut berkongsi gambar yang dimuat naik menunjukkan pertemuan mereka berdua itu di sekitar ibu negara.
“Alhamdulillah, malam ini (semalam) dapat duduk semeja bersama YB Arau, kami berbincang mengenai hala tuju dan juga perancangan untuk kemajuan Wilayah Persekutuan,” tulis beliau.
Kedua-dua mereka masing-masing akan mengambil alih tugas tersebut daripada penyandang sebelumnya iaitu Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Edmund Santhara Kumar Ramanaidu susulan pembentukan Kabinet Keluarga Malaysia yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakobyang akan berkhidmat secara rasmi esok.
Tidak seperti Shahidan yang pernah memegang jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri selain Menteri Besar Perlis, Jalaluddin pula dianggap ‘orang baharu’ dalam Kabinet.
Bagaimanapun, Pengerusi UDA Holdings Berhad dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu pernah berpengalaman sebagai Exco kerajaan Negeri Sembilan ketika era Barisan Nasional (BN).
Namun, beliau menaruh keyakinan tinggi akan dapat memainkan peranan yang sebaiknya bagi mengangkat imej Wilayah Persekutuan kepada tahap lebih baik.
“Walaupun ada mempertikai kemampuan kami untuk mentadbir kementerian, insya-Allah dengan pengalaman yang ada dan kerjasama semua, tiada sebarang perkara mustahil,” katanya sambil memberi jaminan bahawa beliau sedia berkhidmat dan akan terus gerak bersama bagi memastikan keharmonian serta kelestarian hidup warga Wilayah Persekutuan.
Kementerian itu dibentuk pada 1979 lalu bertanggungjawab atas Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya keseluruhannya berkeluasan 382 kilometer persegi dengan populasi 1.6 juta orang.- UTUSAN ONLINE










