Seni menganyam ketupat bawang kian pupus - Utusan Malaysia

Seni menganyam ketupat bawang kian pupus

MOHD. YUSRI Mahat sudah berniaga menjual ketupat bawang sejak lebih 20 tahun di Kampung Padang, Pokok Mangga, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seni menganyam ketupat bawang yang menjadi tradisi setiap kali umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha mungkin akan pupus, jika tidak diwarisi generasi baharu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengusaha ketupat, Mohd. Yusri Mahat melahirkan kerisauan melihat trend orang muda yang majoritinya tidak mahir dan kurang minat terhadap penghasilan makanan warisan itu.

“Saya sudah mengusahakan perniagaan menjual ketupat bawang sejak lebih 20 tahun lalu. Dulu mudah mengupah orang untuk menganyam ketupat antara 5,000 hingga 10,000 biji apabila tiba Aidilfitri dan Aidiladha.

“Tetapi sekarang ini, susah hendak cari orang yang pandai menganyam. Yang tinggal hanyalah orang tua umur antara 40 hingga 60 tahun,” katanya ketika ditemui.

MOHD. YUSRI Mahat dibantu anaknya menjual ketupat bawang di di Kampung Padang, Pokok Mangga, Melaka. – UTUSAN/AMRAN MULUP

Mohd. Yusri berkata, kedai yang menjual ketupat juga amat sukar ditemui setiap kali lebaran berbanding penjual lemang.

Ujarnya, masyarakat juga tidak lagi memasak ketupat secara tradisi kerana lebih gemar merebus ketupat segera yang difikirkan mereka lebih mudah dan pantas.

“Ibu bapa tidak memainkan peranan mengajar anak-anak mereka mengenai seni menganyam ketupat yang diwarisi sejak zaman datuk nenek kita, mungkin tradisi itu akan lenyap dan pupus.

“Seni menganyam ketupat ini hanya aktif dalam kalangan warga tua. Apabila ia tidak diwarisi dan mereka ini meninggal dunia, maka ia akan pupus begitu sahaja,” ujarnya.

Justeru, tegasnya, galakan kepada usaha menghidupkan seni menganyam ketupat wajar dilakukan agar ia tidak lenyap begitu sahaja ditelan arus pemodenan.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN