SHAH ALAM: Kerajaan Negeri menjangkakan imuniti kelompok di negeri ini mampu dicapai lebih awal berdasarkan kadar vaksinasi terkini bagi penduduk yang sudah menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 dan jumlah Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Malah, kadar imuniti itu dikatakan boleh dicapai menjelang hujung September atau awal Oktober sekiranya program pemberian vaksin sama ada melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) ataupun Program Vaksin Selangor (SelVax) berjalan lancar.
Perkara itu dinyatakan Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga negeri, Dr. Siti Mariah Mahmud yang memaklumkan, selain mengusahakan operasi lonjakan vaksin (surge capacity), usaha mendekati komuniti jauh daripada akses vaksin juga akan dijalankan.
Beliau berkata, terdapat 450 PPV di seluruh negeri termasuk program SelVax komuniti yang dianjurkan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Insya-Allah, SelVax ada 750,000 vaksin. Mula-mula kita sasar untuk beli tinggi sikit iaitu 2.5 juta, tetapi oleh kerana sudah banyak kerajaan berikan secara percuma, jadi sambutannya baiklah.
“Dari segi kemudahan akses, kira bagus cuma masalahnya ada rakyat yang ada masalah seperti tiada kenderaan, kemudian dari segi kewangan untuk pergi ke PPV dan terakhir sekali ada jugalah yang tiada kesedaran. Untuk kita dekati mereka akan ambil masa,” katanya kepada Mingguan Malaysia semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang itu menambah, usaha ke arah imuniti kelompok itu perlu mengambil kira pemberian vaksin kepada warga asing sama ada mereka mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah ataupun pendatang asing tanpa izin (PATI).
Dr. Siti Mariah memberitahu, antara cabaran yang perlu ditangani selain sikap rakyat yang memilih vaksin, kerajaan negeri perlu mengenal pasti PATI serta kumpulan pelarian daripada Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) untuk diberikan vaksin.
“Kadang-kadang saya tengok seperti dalam media sosial, ada yang marah kenapa kerajaan utamakan orang luar. Ramai yang tidak sedar bahawa orang luar yang duduk itu adalah sebahagian daripada komuniti kita, kalau mereka tidak divaksin, rakyat sahaja vaksin, maknanya kita tidak akan sampai 80 peratus imuniti berkelompok,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










