Putrajaya.FM dilancarkan secara rasmi dengan alunan al-Quran - Utusan Malaysia

Putrajaya.FM dilancarkan secara rasmi dengan alunan al-Quran

MEGAT ISKANDAR Megat Zaharuddin (barisan atas tengah) bersama-sama penyampai ketika pelancaran stesen Putrajaya.FM semalam. – Foto ihsan Putrajaya.FM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Selepas lapan bulan ke udara secara percubaan dari Menara Seri Wilayah, di sini, stesen radio tempatan, Putrajaya.FM akhirnya dilancarkan secara rasmi pada malam tadi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penerbit Eksekutifnya, Megat Iskandar Megat Zaharuddin At-Terawis berkata, ia susulan persetujuan dicapai dengan tiga badan hak cipta karya hiburan.

‘Kami telah dapat kelulusan MACP (Malaysia Authors Copyright Protection) akhir Julai, tetapi sebab dekat 1 Muharam, kami mohon tarikh kuat kuasa lepas azan Maghrib 9 Ogos,” katanya di sini semalam.

Pelancaran itu turut bersempena keberkatan awal takwim Tahun Baharu Islam selain ia juga dipersetujui Public Performance Malaysia (PPM) dan Recording Performers Malaysia (RPM).

Putrajaya.FM dengan slogan Destinasi Informasi Harmoni itu bersiaran 24 jam setiap hari dan dapat didengar hanya secara atas talian menerusi laman sesawang rasmi www.putrajaya.fm, iaitu berbeza dengan stesen di dua Wilayah Persekutuan sebelumnya, iaitu KL FM dan Labuan FM di bawah Jabatan Penyiaran Malaysia yang dipancarkan melalui gelombang konvensional.

Diuruskan hasil kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan dan sokongan Perbadanan Putrajaya (PPj), siaran atas talian itu juga bagi elak berlaku kekeliruan dengan radio Putra FM yang diuruskan Universiti Putra Malaysia di Serdang, Selangor itu turut dapat diikuti dengan jelas penduduk Putrajaya menerusi gelombang 90.7 MHz.

Mengulas lanjut, Megat Iskandar berkata, sebagai memberkati acara pelancaran Putrajaya.FM, mereka memilih untuk mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran termasuk daripada surah Yasin.

 “Dalam masa terdekat, kami juga telah menghantar pelawaan kepada semua kementerian untuk peruntukan slot ‘airtime’ secara percuma 30 minit sebulan sehingga 31 Disember,” katanya.

 Sementara itu, untuk Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, stesen ini juga ada slot khusus platform interaktif warga pendidik secara maya terutama sesi aktiviti ko-kurikulum.

 Begitu juga dengan pihak PPj ujar beliau, turut disediakan slot tersendiri atas sebab agensi itu merupakan kerajaan tempatan bagi urusan Wilayah Persekutuan yang ketiga itu sejak 2001.

 Menyentuh perancangan masa depan, beliau berharap stesen berkenaan dapat mendekati khalayak seramai mungkin di samping menyampaikan maklumat semasa berkaitan Putrajaya.

 “Ketika ini, Putrajaya.FM sudah menjadi antara stesen pilihan utama warga Malaysia yang berada di luar negara dan ia suatu perkembangan baik untuk kami membina asas,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN