Pulau peranginan utama dijangka dibuka awal bulan depan - Utusan Malaysia

Pulau peranginan utama dijangka dibuka awal bulan depan

NANCY SHUKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menjangkakan pembukaan semula pulau-pulau peranginan utama di negara ini dapat dilaksanakan pada awal bulan depan tertakluk kepada keputusan semasa berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang akan ditentukan kerajaan.

Kesediaan itu selaras dengan sasaran imuniti kelompok di pulau-pulau utama seperti Langkawi, Pangkor, Redang, Tioman dan Perhentian yang dijangka dapat dicapai pada akhir bulan ini hasil program vaksinasi yang dipergiat ketika ini.

Menterinya, Datuk Nancy Shukri berkata, pihak kementerian juga sedang mengemas kini dan menyiapkan segala SOP berkaitan sektor pelancongan.

“Cadangan pembukaan semula sektor pelancongan hendaklah dilaksanakan dengan teliti dan berhati-hati.

“Ini bagi mengelakkan berlakunya penularan Covid-19 hingga menyebabkan penutupan semula dibuat yang akan menjejaskan keseluruhan rantaian sektor pelancongan terlibat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Nancy terdahulu mengadakan sesi libat urus secara maya dengan 15 wakil persatuan dalam kalangan penggiat industri hari ini.

Nancy berkata, sesi libat urus itu penting bagi membolehkan penggiat industri bersiap sedia ke arah pembukaan sektor pelancongan terutama melibatkan pulau-pulau peranginan utama negara dalam masa terdekat.

Beliau berkata, sesi yang diadakan secara maya itu juga bertujuan mendapatkan maklum balas daripada pihak industri agar persediaan rapi dapat dilakukan sebelum pembukaan sektor pelancongan dilaksanakan kelak.

“Apa yang paling penting adalah semua pihak terlibat dapat bergerak dalam satu arah sama bagi memastikan setiap perancangan serta strategi yang direncanakan berjalan dengan lancar,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN