BUTTERWORTH: Seperti peniaga lain yang terkesan akibat penularan Covid-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lepas, M. Kalesswaran juga tidak terkecuali.
Dia yang menjalankan perniagaan nasi lemak dan kuih-muih di sebuah kedai kopi di Chai Leng Park, Prai di sini semakin terhimpit apabila kedai kopi berkenaan juga terpaksa ditutup kerana terdapat jangkitan Covid-19 di kawasan itu baru-baru ini.
Situasi itu jelas memburukkan keadaan buat Kalesswaran yang kini kehilangan sumber pendapatan untuk keluarganya.
Derita pemuda itu bagaimanapun mendapat perhatian Pertubuhan Usahawan Integriti Negeri Pulau Pinang (PUIPP) yang turun padang meninjau sendiri masalah yang dihadapinya.

Pengerusi PUIPP, M. Kumar berkata, selain menyantuni anak muda itu, pihaknya juga menyalurkan bantuan ‘kilat’ berjumlah RM6,000 yang berfungsi sebagai modal pusingan bagi membolehkan Kalesswaran kembali berniaga seperti biasa.
“Kami telah menerima (maklumat mengenai) rintihan Kaleeswaran yang terjejas sumber pendapatannya sepanjang fasa awal pelaksanaan PKP dan ketika PKP Diperketatkan (PKPD) susulan penularan Covid-19 di situ.
“Kami juga kagum dengan keazamannya untuk terus bangkit daripada kekangan semasa demi menyara keluarga,” katanya yang juga Timbalan Ketua Pemuda MIC negeri.
Jelas Kumar, sebagai seorang ahli perniagaan, dia memahami situasi yang dihadapi oleh Kalesswaran serta para peniaga lain yang terkesan akibat keadaan yang di luar kawalan ini.
“Justeru, saya berharap agar semua rakyat terus cekal dan tabah menghadapi segala cabaran.
“Pada masa yang sama, kami juga akan meneruskan misi bantuan yang kami bawa kepada golongan masyarakat ini mengikut kemampuan kami,” katanya. – UTUSAN ONLINE