SEGAMAT: Sebuah kereta Proton Saga yang berusia lebih 30 tahun mempunyai nostalgia tersendiri bagi keluarga Mohd. Asri Talib di sini apatah lagi setiap kali menjengah 31 Ogos.
Mohd. Asri, 56, yang juga anak sulung daripada lima beradik itu berkata, masih jelas terbayang kegembiraan mereka apabila Proton warna coklat yang dibeli pada tahun 1991 itu dibawa pulang oleh bapanya, Talib Sulaiman.
“Saya masih ingat kami sekeluarga menggunakan Proton Saga itu untuk melihat konvoi perbarisan Hari Kemerdekaan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur; Dataran Bandaraya Melaka dan di Dataran Segamat selain sekitar Johor,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.
Menurutnya, arwah bapanya yang meninggal dunia pada 2006 ketika itu bekerja sebagai penyelia di sebuah kilang papan lapis di sekitar Buloh Kasap, terpaksa berjimat untuk mengumpul wang pendahuluan bagi membeli kereta itu dengan harga RM31,500.
“Kami sekeluarga amat bersyukur dapat memiliki kereta yang dikategorikan kereta nasional ketika itu,” katanya yang meletakkan kereta itu di halaman premis perniagaannya.
Langkah itu bertujuan menzahirkan semangat cintakan negara dan Asri turut mempamerkan lebih 30 bendera Malaysia pelbagai ukuran dan juga bendera Johor bagi memeriahkan lagi sambutan bulan kemerdekaan.
“Saya ingin memberikan peluang kepada orang ramai terutama sekali generasi muda yang tidak pernah melihat kereta keluaran pertama Malaysia yang kini semakin kurang kelihatan di jalan raya,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE









