JOHOR BAHRU: Pelaksanaan Projek Rapid Transit System (RTS) Malaysia-Singapura dan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (PLBEGJB) akan mengukuhkan kedudukan bandar raya Johor Bahru sebagai pintu masuk antarabangsa utama.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, dua projek mega itu juga secara tidak langsung bakal menjadi penyumbang utama kepada usaha pemulihan ekonomi negeri susulan kesan pandemik Covid-19.
Menurut beliau, selain itu ia juga akan memberi impak positif terhadap kepesatan pembangunan bandar raya itu dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.
“Dengan siapnya kedua-dua projek itu ia akan secara langsung menyokong keberadaan Ibrahim International Business District atau (IIBD) di bandar raya Johor Bahru ini.
“Projek Pembangunan IIBD yang meliputi kawasan seluas 100 hektar di tengah-tengah daerah Sentral Johor Bahru akan menjadi ‘The Southern Gateway of Malaysia’ dan ‘The next best option to live, work and play in Southeast Asia after Singapore’,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis pelantikan dan angkat sumpah Datuk Bandar Johor Bahru di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), di sini hari ini.
Tambah Hasni, pengukuhan kedudukan Johor Bahru itu sejajar dengan kedudukan strategiknya yang bersebelahan dengan Singapura, sekali gus menjadi pintu masuk darat yang utama ke republik itu dari negara ini.
“Apabila IIBD siap kelak, warga bandar raya ini akan dapat menikmati lebih banyak pelaburan strategik dalam pelbagai sektor melalui penyiapan infrastruktur bertaraf antarabangsa.
“Pelaburan-pelaburan itu juga bakal meletakkan Johor Bahru sebagai bandaraya yang setanding atau lebih daripada Kuala Lumpur,” ujarnya.
Hasni turut berkata, pihaknya juga menjangka akan berlaku penghijrahan lebih ramai anak muda dari luar Johor ke bandar raya ini.
“Ini berikutan lambakan peluang baharu yang ditawarkan hasil daripada pelaburan-pelaburan strategik tersebut. Insya-Allah, IIBD akan menjadi katalis kepada penciptaan lebih banyak peluang dan pemangkin kepada kemajuan bandar raya Johor Bahru,” tambahnya.- UTUSAN ONLINE










