PM Sementara bersifat administratif - Utusan Malaysia

PM Sementara bersifat administratif

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tiada istilah Perdana Menteri interim dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi dalam keadaan Perdana
Menteri meletak jawatan kerana hilang kepercayaan atau Parlimen dibubarkan, Yang di-ertuan Agong boleh ‘melantik’
kerajaan sementara sehingga Perdana Menteri baharu dilantik atau Pilihan Raya Umum (PRU-15) diadakan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Peguambela & Peguamcara, Mohd. Zainuddin Omar berkata, dalam situasi ini, pelantikan Perdana Menteri Sementara oleh Seri Paduka adalah bersifat administratif dan
bukan suatu pelantikan jawatan sebenar sebagai pengerusi Jemaah Menteri.

“Istilah Perdana Menteri interim ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad hanyalah administratif sehingga pengganti beliau
dilantik kerana ketika itu peletakan jawatan dibuat secara tiba-tiba dan Tun Mahathir dilihat belum hilang undi kepercayaan majoriti.

“Tiada watikah pelantikan atau majlis angkat sumpah jawatan diadakan… menandakan tiada pelantikan baharu berlaku,” katanya di sini semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sekiranya pelantikan Perdana Menteri dibuat Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 43 (2)(a), pelantikannya adalah pelantikan biasa
menurut undang-undang dan bukan interim.

“Sebagai kerajaan sementara, Perdana Menteri yang dilantik tidak mempunyai kuasa penuh sebagai Perdana Menteri tetapi sebaliknya hanya
bersifat sementara untuk meneruskan pentadbiran negara sehingga pilihan raya diadakan dan kerajaan baharu dibentuk,
dan dalam kes Tan Sri Muhyiddin Yassin ini, sehingga Perdana Menteri baharu dilantik,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sehingga
Perdana Menteri baharu dilantik, selepas beliau menyerahkan surat peletakan jawatan kerana hilang sokongan majoriti.

Pelantikan seorang Perdana Menteri adalah selaras Perkara 40 (2)(a) dan 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang mengatakan bahawa Seri Paduka
hendaklah melantik seorang ahli Dewan Rakyat pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN