PKR tidak tolak kerajaan perpaduan, tapi perlukan perbincangan - Utusan Malaysia

PKR tidak tolak kerajaan perpaduan, tapi perlukan perbincangan

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: PKR bersedia dan tidak menolak untuk bekerjasama bagi pembentukan kerajaan perpaduan antara semua parti, namun, ia menuntut perbincangan lebih lanjut bersama Pakatan Harapan (PH).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, ini kerana pembentukan kerajaan perpaduan dapat menstabilkan krisis politik yang akhirnya meletakkan rakyat sebagai mangsa.

“Dalam beberapa siri titah Yang di-Pertuan Agong, Seri Paduka mengingatkan semua perlu berganding bahu dan bekerjasama, malangnya, ahli Parlimen pembangkang tidak dilibatkan langsung dalam isu penting contohnya pengurusan Covid-19, vaksin dan pelaksanaannya.

“Jadi, saya lihat semua keperluan untuk bekerjasama dan harapan saya adalah Perdana Menteri yang dilantik dapat mengumpulkan seluruh kekuatan, maka, inilah perkara yang saya rasa Tuanku mahu lihat dan mahu kita usahakan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Semalam, Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik (ITKAS) Universiti Malaysia Pahang (UMP), Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, pendekatan kerajaan perpaduan dengan penyertaan wakil setiap parti utama dalam Kabinet atau lantikan ‘consultative body’ merupakan tawaran yang boleh dibincangkan untuk memberi fokus kepada isu penting sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) dilaksanakan.

Katanya lagi, langkah itu perlu memandangkan calon daripada UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempunyai lebihan majoriti kecil untuk menerajui kerajaan.

Namun bagi semua parti politik, jelas beliau lagi, satu usaha perlu diadakan bagi mencari jalan untuk bekerjasama dalam sebarang konfigurasi yang akhirnya meletakkan rakyat sebagai keutamaan.

“Ada keperluan untuk kita mencari jalan kerjasama dengan semua parti politik dalam sebarang konfigurasi sebab yang kita nampak masalah besar sekarang adalah kerajaan mengambil langkah tanpa berbincang dengan pihak lain, itu telah menyebabkan banyak keputusan akhirnya gagal,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×