‘Pesanan terakhir Allahyarham Lajim akan saya ingat’ - Utusan Malaysia

‘Pesanan terakhir Allahyarham Lajim akan saya ingat’

ISNIN ALIASNIH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEAUFORT: ‘Teruskan perjuangan jaga rakyat’. Itu pesanan terakhir Allahyarham Datuk Seri Lajim Ukin kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias, Datuk Isnin Aliasnih.

Isnin, yang juga Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan ini berkata, pesanan itu diberikan semasa beliau membuat panggilan video sebelum Allahyarham ditidurkan pada 24 Ogos lalu.

“Sebelum dia ditidurkan kami ada video call dan dia memohon maaf dan minta saya untuk meneruskan perjuangan menjaga rakyat. Itu pesanan terakhirnya kepada saya dan pesanan terakhir Allahyarham itu akan saya ingat,” katanya ketika ditemui semasa majlis pengebumian Allahyarham Lajim Ukin di Taman Perkuburan Orang-Orang Islam Kampung Kebatu hari ini.

Isnin yang menganggap Allahyarham sebagai gurunya dalam arena politik akan sentiasa mengingati pesanan arwah yang mahu anak muda diangkat bagi membolehkan DUN Klias mempunyai pemimpin pelapis pada masa depan.

Beliau menyifatkan Lajim seorang pemimpin yang baik dan sentiasa menjaga rakyat di kawasannya. Sifat kepimpinan yang baik itu membolehkan Allahyarham mampu bertahan lebih 30 tahun sebagai wakil rakyat di kawasan tersebut.

“Memang dia begitu dekat dihati rakyat Klias dan Beaufort mahupun Sabah. Malah, beliau pernah memegang jawatan timbalan menteri di peringkat kerajaan Pusat. Beliau seorang pemimpin yang baik dan berdedikasi,” katanya.

Tambah beliau, pemergian Allahyarham Lajim merupakan satu kehilangan besar buat masyarakat Beaufort. Jika dilihat, sehingga akhir hayatnya, beliau berkhidmat untuk rakyat dengan kapasiti sebagai Pengerusi Eksekutif Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

“Saya sekali lagi mengucapkan takziah kepada keluarga Datin Seri Normilah Siong atas pemergian suami tercinta.

“Kita menzahirkan rasa simpati dan sedih. Saya meminta semua rakan mendoakan kesejahteraan dan sedekahkan bacaan yasin kepada arwah,” katanya.

Jelas Isnin, beliau bersama-sama dengan arwah Lajim sejak 1994 lagi di dalam UMNO dan sehingga saat ini mereka juga bersama-sama dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN